Tuesday, March 30, 2021

RIPPLE MEMPEROLEHI 40% KEPENTINGAN DALAM TRANGLO PAKAR PEMBAYARAN RENTAS SEMPADAN TERKEMUKA DI ASIA

 Memperkukuhkan perkongsian yang sedang berjalan untuk memperluaskan Kecairan Atas Permintaan RippleNet di pasaran-pasaran utama bermula di Asia Tenggara



SINGAPURA, 30 Mac (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Ripple, penyedia terkemuka bagi penyelesaian blok rantai perusahaan untuk pembayaran global, mengumumkan bahawa ia telah bersetuju untuk memperolehi 40% dalam Tranglo, pakar pembayaran rentas sempadan terkemuka di Asia. Perkongsian ini akan membolehkan Ripple untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat di rantau itu dan memperluaskan jangkauan Kecairan Atas Permintaan (ODL), yang menggunakan aset digital XRP untuk mengirim wang dengan serta-merta dan mengurangkan keperluan modal kerja.

Sebagai perintis untuk perkhidmatan pembayaran rentas sempadan, Tranglo akan memainkan satu peranan penting di dalam menyokong koridor sedia ada, seperti Filipina, dan memperkenalkan koridor ODL baharu di dalam rangkaian mereka yang ada sekarang. Ketika Ripple memperluaskan kehadiran ODL mereka di rantau itu, pelanggan RippleNet yang menggunakan ODL akan juga dapat memanfaatkan Kemudahan Kredit Ripple untuk membebaskan modal kerja dan menskalakan pembayaran rentas sempadan ke dalam lebih banyak pasaran berbanding sebelum ini. Tranglo akan terus menyedia dan memperluaskan perkhidmatan pembayaran semasa mereka untuk membuat urus niaga rentas sempadan lebih cepat, lebih murah dan lebih selamat bagi pelanggan mereka.

Landskap pembayaran di Asia Tenggara sangat berpecah belah. Setiap negara dilengkapi dengan proses dan infrastruktur pembayaran mereka sendiri yang unik - kurangnya satu penyepaduan standard bagi pembayaran rentas sempadan serantau pada masa ini memerlukan penyelesaian yang mahal. Perkongsian ini akan menyaksikan kedua-dua syarikat menggabungkan kepakaran tempatan mereka yang mendalam untuk menangani cabaran yang berkaitan dengan pembayaran rentas sempadan.

Pelaburan Ripple di dalam Tranglo adalah satu gambaran mengenai komitmen syarikat itu yang lebih mendalam untuk memperkayakan ekosistem pembayaran di Asia Tenggara, rantau yang paling cepat berkembang untuk penerimaan RippleNet. Minggu lalu, syarikat itu telah mengumumkan Brooks Entwistle sebagai Pengarah Urusan bagi Asia Tenggara untuk mengetuai dan meningkatkan operasi mereka di Asia Tenggara.

Jacky Lee, Ketua Pegawai Eksekutif di Tranglo, berkata: “Tranglo selalu membanggakan diri dalam menjadikan urus niaga rentas sempadan lebih cepat, lebih murah dan lebih selamat. Dengan bekerjasama rapat dengan Ripple dan memperkenalkan Kecairan Atas Permintaan ke pasaran baharu, kami berhasrat untuk meningkatkan cita-cita bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses dan adil kepada orang ramai.”

Asheesh Birla, Pengurus Besar RippleNet di Ripple, berkata: “Infrastruktur pembayaran Tranglo yang teguh ditambah dengan perkhidmatan dan kualiti pelanggan mereka yang tiada tandingan menjadikan mereka sebuah rakan yang ideal untuk menyokong pengembangan Kecairan Atas Permintaan kami bermula dengan rantau Asia Tenggara. Kami teruja untuk meneruskan dan melaksanakan misi bersama kami untuk mengubah urus niaga  rentas sempadan menjadi lebih cepat, lebih murah dan lebih selamat dengan teknologi blok rantai dan aset digital.”

Penyiapan bagi urus niaga ini adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat-syarat penutupan biasa dan dijangka akan berlaku pada tahun 2021. Apabila siap nanti, Amir Sarhangi, Naib Presiden bagi Produk dan Penghantaran di Ripple, dan Brooks Entwistle akan bergabung dengan lembaga pengarah Tranglo. Kumpulan TNG Fintech akan kekal sebagai pemegang saham majoriti di Tranglo dan akan bekerjasama dengan Ripple untuk mengembangkan lagi rangkaian pengiriman wang global Tranglo.

RippleNet memanfaatkan teknologi lejar yang diedarkan untuk menyampaikan penyelesaian kewangan - daripada pesanan dwi hala, penyelesaian, pengurusan kecairan dan kemudahan kredit – kepada satu rangkaian rakan global. Tahun lalu, Ripple mengumumkan Kemudahan Kredit, satu perkhidmatan di RippleNet yang membolehkan pelanggan menggunakan Kecairan Atas Permintaan (ODL) untuk mendapatkan sumber modal atas permintaan bagi memulakan pembayaran rentas sempadan pada skala dengan menggunakan aset digital XRP.

Maklumat mengenai Ripple

Ripple membolehkan pembayaran di mana sahaja, dengan segala cara, untuk semua orang menggunakan kuasa blok rantai. Dengan menyertai rangkaian global Ripple (RippleNet)  yang berkembang, institusi kewangan boleh memproses pembayaran pelanggan mereka di mana saja di dunia dengan serta-merta, dengan pasti dan menjimatkan kos. Bank dan penyedia pembayaran boleh menggunakan aset digital XRP untuk mengurangkan lagi kos mereka dan mengakses pasaran baharu. Dengan mempunyai pejabat di San Francisco, Washington D.C., New York, London, Mumbai, Singapura, São Paulo, Reykjavik dan Dubai, Ripple mempunyai ratusan pelanggan di seluruh dunia.

Maklumat mengenai Tranglo

Tranglo adalah sebuah hab pembayaran rentas sempadan dengan rekod prestasi yang terbukti di dalam pembayaran perniagaan, pengiriman wang asing dan penyelesaian pembayaran mudah alih. Ditubuhkan pada tahun 2008, kami mempunyai pejabat di Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, Dubai dan London. Rangkaian global kami merangkumi lebih 100 buah negara, 2,500 operator mudah alih, 1,300 bank/dompet dan 130,000 titik pengambilan wang tunai.

Lihat versi sumber di businesswire.com: 
https://www.businesswire.com/news/home/20210329005796/en/

Hubungi

Stacey Ngo
press@ripple.com

Sumber : Ripple

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...