Dunia Perniagaan Semasa
Tuesday, November 24, 2026
MALAYSIA PERKUKUH ASPIRASI HAB BIOEKONOMI HALAL GLOBAL MELALUI PLATFORM BIO-LINK: BUSINESS GROWTH ACCELERATION
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), melalui agensinya, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), telah melancarkan Platform Bio-Link: Business Growth Acceleration di Hotel Meliá Kuala Lumpur, hari ini.
Bio-Link menyatukan sokongan industri sedia ada yang disediakan oleh Bioeconomy Corporation, merangkumi pembangunan produk, perkhidmatan teknikal, pensijilan, pembiayaan serta akses pasaran, dalam satu platform bersepadu. Di bawah rangka kerja ini, program HalalBio+ melengkapkan perusahaan bioteknologi dan berasaskan bio tempatan dengan sokongan untuk mendapatkan pensijilan halal serta mengembangkan perniagaan ke pasaran domestik dan antarabangsa.
YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata bahawa inisiatif ini merupakan satu langkah besar ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab bioekonomi halal global dengan menggabungkan kekuatan negara dalam bidang sains, teknologi dan integriti halal.
“Selain diiktiraf sebagai peneraju global dalam pensijilan halal, Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pembangunan produk bioteknologi dan berasaskan bio yang memenuhi piawaian halal antarabangsa. Melalui HalalBio+, syarikat bioteknologi dan berasaskan bio tempatan, khususnya syarikat yang mempunyai Status BioNexus dan syarikat di bawah program Bio-based Accelerator, berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini,” katanya.
“Dengan nilai eksport halal Malaysia mencecah RM68.5 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan hampir 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, penerapan amalan halal dapat meningkatkan kebolehpasaran produk, membina keyakinan pelabur serta membuka peluang dalam sektor berpertumbuhan tinggi seperti makanan dan minuman, kosmetik, ramuan dan farmaseutikal. Kesiapsiagaan halal perlu dilihat sebagai strategi teras pertumbuhan perniagaan dan bukannya sekadar keperluan pematuhan,” tambah beliau.
HalalBio+ dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama rakan strategik yang berdaftar dengan Malaysia International Halal Academy (MIHA) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program ini merangkumi tiga fasa teras, iaitu Halal Assessment (Penilaian Halal), Halal Bootcamp (Kem Latihan Halal) dan Halal Coaching (Bimbingan Halal).
Sebanyak 18 syarikat perintis telah melengkapkan komponen Halal Assessment dan Halal Bootcamp. Penyertaan ini melibatkan pelbagai subsektor, termasuk makanan dan minuman, kosmetik, produk penjagaan diri, suplemen kesihatan, premis makanan serta perkhidmatan pengilangan dan pembungkusan. Syarikat-syarikat ini seterusnya akan mengikuti komponen Halal Coaching bagi mendapatkan bimbingan yang lebih bersasar dan praktikal sebagai persediaan untuk memohon pensijilan halal JAKIM.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, En. Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata bahawa HalalBio+ melangkaui bantuan pensijilan tradisional dengan menangani jurang pematuhan, di samping meningkatkan kesiapsiagaan komersial.
“Kami akan berusaha menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai HalalBio+ menjelang tahun 2027. Lebih penting lagi, kami ingin memupuk pemahaman yang lebih baik bahawa pematuhan halal merupakan amalan perniagaan penting yang memelihara integriti produk dan menyokong kemampanan jangka panjang,” katanya.
Pelaksanaan Bio-Link dan HalalBio+ menyokong secara langsung Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), khususnya dalam memajukan pengkomersialan inovasi tempatan serta memperluas pasaran global.
Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
24 NOVEMBER 2026
MENGENAI BIOECONOMY CORPORATION
Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) merupakan agensi peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio, di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Bioeconomy Corporation menyokong komuniti perniagaan, akademik dan saintifik dengan menyediakan khidmat pemudah cara, nasihat serta pembangunan ekosistem yang merangkumi aspek perniagaan, akses pasaran, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan, pembangunan modal insan, bantuan kewangan serta rangka kerja perundangan dan kawal selia, dengan sokongan kerajaan.
Antara program utamanya termasuk Status BioNexus, iaitu pengiktirafan rasmi kerajaan yang diberikan kepada syarikat bioteknologi yang berkelayakan. Pengiktirafan ini membolehkan syarikat berkenaan menikmati pelbagai khidmat sokongan dan insentif pertumbuhan perniagaan. Bioeconomy Corporation juga menawarkan program Bio-based Accelerator yang bertujuan membantu syarikat berasaskan bio yang sedang berkembang untuk mempercepat pertumbuhan dan mengkomersialkan inovasi mereka. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bioeconomycorporation.my.
SUMBER: Bioeconomy Corporation
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nur Akmar Yusoff
Eksekutif Kanan,
Komunikasi Strategik
Tel: +6012 690 6108
Emel: akmar.yusoff@bioeconomycorporation.my
--BERNAMA
PCG Catat Keputusan Lebih Rendah Pada Suku Ketiga 2026 Susulan Harga Produk Menurun
• Kadar Penggunaan Loji: 73%
• Pendapatan: RM7.6 bilion
• EBITDA: RM942 juta
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG atau Kumpulan) hari ini melaporkan prestasi kewangan yang lebih rendah bagi suku ketiga berakhir pada 30 September 2026, berikutan penurunan harga purata produk secara keseluruhan, khususnya urea.
Sorotan Utama 3Q 2026 berbanding 2Q 2026
3Q 2026 2Q 2026
Kadar Penggunaan Loji (%) 73 73
Pendapatan (RM juta) 7,621 7,903
EBITDA (RM juta) 942 1,318
Margin EBITDA (%) 12.4 16.7
PAT (RM juta) 202 445
PATANCI (RM juta) 179 414
PATANCI: Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan
• Kadar Penggunaan Loji kekal pada 73% selepas Kumpulan menyelesaikan aktiviti penyelenggaraan berjadual (turnaround) di PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd. (Loji 2) di Labuan serta berjaya mengatasi pelbagai gangguan operasi di PETRONAS Chemicals Olefins Sdn. Bhd. di Kertih.
• Pendapatan berjumlah RM7.6 bilion, menurun 4% daripada RM7.9 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh harga purata produk yang lebih rendah, meskipun jumlah jualan meningkat hasil daripada operasi Pengerang dan aktiviti pemerolehan sumber secara strategik (strategic sourcing).
• Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun kepada RM942 juta berbanding RM1.3 bilion pada suku kedua 2026, berikutan spread produk keseluruhan yang lebih rendah merentas portfolio Kumpulan, meskipun terdapat penambahbaikan dalam kos operasi.
• Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun kepada RM202 juta berbanding RM445 juta pada suku sebelumnya, sejajar dengan penurunan EBITDA.
Sorotan Utama YTD 3Q 2026 berbanding YTD 3Q 2025
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, pendapatan Kumpulan meningkat 8% kepada RM22.5 bilion, didorong oleh harga purata produk yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh nilai Ringgit yang lebih kukuh dan jumlah jualan yang lebih rendah. EBITDA meningkat ketara sebanyak 93% kepada RM3.4 bilion berikutan margin produk yang lebih baik, sumbangan yang lebih kukuh daripada entiti operasi bersama dan segmen Bahan Kimia Khusus, serta kos operasi yang lebih rendah.
Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 bilion, berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM1.3 bilion pada tempoh sebelumnya.
Prestasi Portfolio
Komoditi
Segmen Baja dan Metanol (F&M) Kumpulan mencatatkan kadar penggunaan loji sebanyak 78%, susulan aktiviti penyelenggaraan berjadual di Loji 2 PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd. Harga purata produk F&M merosot sebanyak 33%, terutamanya disebabkan oleh penurunan ketara harga urea daripada USD667/tan pada suku sebelumnya kepada USD407/tan. Pendapatan menurun sebanyak 17% kepada RM3.0 bilion meskipun jumlah jualan meningkat berikutan aktiviti pemerolehan sumber secara strategik. Sementara itu, EBITDA berjumlah RM658 juta, terutamanya terjejas oleh spread produk yang lebih rendah.
Segmen Olefin dan Derivatif (O&D) mencatatkan kadar penggunaan loji sebanyak 61%, disokong oleh kejayaan memulakan semula operasi PETRONAS Chemicals Olefins Sdn. Bhd. pada bulan September berikutan pelbagai gangguan selepas aktiviti penyelenggaraan berjadual, serta pengoptimuman pengeluaran di seluruh kemudahan O&D bagi memaksimumkan nilai. Pendapatan meningkat kepada RM3.2 bilion, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi, terutamanya daripada operasi Pengerang. EBITDA pula meningkat kepada RM256 juta, disokong oleh kos operasi yang lebih rendah berikutan pengurangan aktiviti penyelenggaraan berbanding suku sebelumnya. Harga purata produk secara keseluruhan kekal hampir sama berbanding suku sebelumnya.
Bahan Kimia Khusus
Segmen Bahan Kimia Khusus mencatatkan EBITDA sebanyak RM70 juta, lebih rendah berbanding suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos stok suapan dan tenaga. Jumlah jualan yang lebih rendah turut menjejaskan pendapatan. Pada suku sebelumnya, prestasi segmen ini mendapat manfaat daripada harga jualan yang lebih tinggi sebelum peningkatan kos berlaku.
Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata:
“Suku ketiga menyaksikan penurunan harga produk merentas portfolio, khususnya urea akibat peningkatan bekalan eksport dari China. Walaupun terdapat aktiviti penyelenggaraan berjadual di loji metanol kami di Labuan dan pelbagai gangguan operasi di loji olefin di Kertih, jumlah jualan meningkat sepanjang suku ini, didorong oleh sumbangan yang lebih besar daripada operasi Pengerang serta aktiviti pemerolehan sumber secara strategik.
“Kadar penggunaan loji Kumpulan mencapai 90% pada bulan Oktober. Bagi suku keempat 2026, tumpuan kami adalah untuk memaksimumkan pengeluaran dengan selamat dan andal, di samping terus memacu nilai komersial, memperkukuh portfolio kami dan mengekalkan disiplin dalam peruntukan modal.”
Prospek
Prospek pasaran bahan kimia akan dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan ketidakseimbangan berterusan antara penawaran dengan permintaan.
Harga produk O&D berkemungkinan terus mengalami tekanan akibat lebihan bekalan serantau, manakala ketegangan geopolitik boleh terus menyebabkan turun naik kos stok suapan dan pengangkutan. Permintaan baja dijangka disokong oleh keperluan pertanian bermusim, keutamaan terhadap keselamatan makanan dan permintaan import, manakala harga metanol dijangka secara amnya kekal stabil.
Permintaan di pasaran akhir bagi bahan kimia khusus kekal lemah dalam sektor pembinaan, automotif dan barangan pengguna, dengan kelemahan bermusim dijangka berlaku pada suku keempat.
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara dari segi kapasiti. Syarikat ini mengendalikan rangkaian tapak pengeluaran bertaraf dunia di seluruh Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 16.8 juta tan metrik setahun (mtpa).
PCG terlibat dalam aktiviti pembuatan, pemasaran dan penjualan pelbagai jenis produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol, bahan kimia asas lain, produk terbitan serta bahan kimia khusus.
Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan pengalaman lebih daripada empat dekad dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.
PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (EESG), seperti yang dibuktikan melalui penyertaan berterusan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai PCG boleh didapati di www.petronas.com/pcg
SUMBER: PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Gary Khoo
Jabatan Komunikasi Korporat
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
E-mel : khoo.tseyau@petronas.com
--BERNAMA
LEPAS L8, L6 dan L4 Raih Penarafan Lima Bintang dalam Penilaian Euro NCAP 2026
WUHU, China, 23 Nov (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- LEPAS, jenama NEV Premium milik Chery Auto, telah meraih penarafan keselamatan lima bintang bagi model L8, L6 dan L4 di bawah protokol penilaian 2026. Penarafan tersebut diumumkan oleh European New Car Assessment Programme (Euro NCAP) pada 18 November 2026, sebagai sebahagian daripada penilaian terkininya yang merangkumi 10 model merentasi empat bidang utama: Safe Driving, Crash Avoidance, Crash Protection dan Post Crash Safety.
Ketiga-tiga penarafan lima bintang ini menyerlahkan pengalaman luas Chery Auto dalam pembangunan dan pengesahan keselamatan kenderaan, yang disokong oleh lebih 1,500 ujian pelanggaran setiap tahun merentasi lebih 67 senario. Dengan memanfaatkan rangkaian R&D global "1+7+N" milik Chery Group, LEPAS mengintegrasikan kepakaran ini ke dalam intelligent LEX Platform. Platform tersebut mengintegrasikan pelbagai lapisan perlindungan yang merangkumi struktur kenderaan, keselamatan penumpang, keselamatan bateri dan tindak balas kecemasan, serta dilengkapi sistem keselamatan aktif berlapis dan perlindungan bateri 360 darjah.
Perihal LEPAS
LEPAS ialah jenama NEV Premium milik Chery Auto yang komited untuk mencipta pengalaman mobiliti elegan bagi pengguna di seluruh dunia. Dengan komitmen untuk menjadi Preferred Brand for Elegant Mobility Life, LEPAS menggabungkan Leopard Aesthetics, Elegant Technology dan Exquisite Space, sekali gus menjadikan keanggunan sebagai pengalaman pemanduan yang dapat dilihat, dirasai dan diyakini. Disokong oleh rangkaian pengedar global yang semakin berkembang dengan lebih daripada 500 pusat jualan dan perkhidmatan, LEPAS sedang memperluas jejak antarabangsanya melalui operasi setempat, sambil menawarkan produk dan pengalaman yang disesuaikan untuk pengguna di pelbagai pasaran global.
Perihal Chery Auto
Ditubuhkan pada tahun 1997, Chery Auto ialah pengeluar automotif global yang mengkhusus dalam pembangunan kenderaan, teknologi pintar dan penyelesaian tenaga baharu. Syarikat ini beroperasi di lebih 130 buah negara dan wilayah, disokong oleh rangkaian antarabangsa yang kukuh dalam penyelidikan, pengeluaran dan perkongsian strategik. Chery Auto kekal sebagai pengeksport kenderaan penumpang No. 1 China dalam kalangan jenama China selama 23 tahun berturut-turut. Dipandu oleh falsafah global “In somewhere, For somewhere, Be somewhere”, Chery Auto komited untuk memajukan mobiliti lestari melalui inovasi berterusan dan kerjasama global.
Hubungan Media
Nama Syarikat: LEPAS International
Orang untuk Dihubungi: Vincy Wang
E-mel: GlobalPR@lepasinternational.com
Laman Web Rasmi Syarikat: https://lepasinternational.com/
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/c0b3e12a-28f8-4dcf-9435-8017858d9e14
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/c3ca4bf8-b746-48bb-9cc4-648d2502ea53
SUMBER: Chery Auto
--BERNAMA
Saturday, November 14, 2026
ISTIADAT KONVOKESYEN INSTITUT KRAF NEGARA (IKN) KE-24 TAHUN 2026

Penerima Anugerah pelajar terbaik, Vanessa (kiri), Mohamad Asyraf Abdullah (kanan) dan Mohamad Jaiyid Faizi (kanan) bersama Yang Berbahagia Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya pada majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-24 tahun 2026 di Institut Kraf Negara.
RAWANG, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-24 bagi tahun 2026 bertempat di Dewan Cindai, Institut Kraf Negara yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya.
Turut hadir, Yang Berusaha Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia dan Encik Shamsul Azizi bin Samsudin, Pengarah Kanan Institut Kraf Negara.
Pada Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-24, seramai 200 orang graduan diraikan terdiri daripada 51 orang merupakan penerima Diploma Seni Kraf, 17 orang penerima Sijil Seni Kraf, 48 orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Sistem Latihan Program Bertauliah (SKM-SLaPB). Turut diraikan empat orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) menerusi Pusat Penilaian Amali (PPA) dan 80 orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) menerusi Program ([R]ACE-ILB 2026) di bawah Kraftangan Malaysia selaku Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB).
Kraftangan Malaysia telah dilantik sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 14 Oktober 2025 bagi tempoh 2025 hingga 2028. Menerusi lantikan ini, industri kraf negara terus diperkukuh dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kraf. Sejak Program Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) diperkenalkan pada tahun 2024 di IKN, seramai 11 orang peserta berjaya dianugerahkan SKM Tahap 3 telah diraikan sempena Majlis Istiadat Konvokeysen IKN kali Ke-22 dan Ke-23.
IKN berbangga apabila pada tahun 2026 merekodkan pendaftaran pelajar baharu seramai 223 orang iaitu peningkatan sebanyak 13% berbanding 198 orang pada tahun 2025 dan merupakan rekod tertinggi pendaftaran pelajar baharu dalam tempoh 21 tahun. Angka ini menunjukkan IKN menjadi institusi pilihan utama dalam bidang pengajian seni kraf.
Bersempena Istiadat Konvokesyen IKN Ke-24 ini juga, Watikah Pelantikan Adiguru Kraf turut disampaikan kepada dua orang pengusaha kraf yang memiliki kepakaran tinggi dalam seni ciptaan dan pertukangan kraf. Pengiktirafan ini sekaligus dapat mengukuhkan imej dan peranan tokoh sebagai pakar rujuk bagi memartabatkan seni kraf negara di peringkat nasional dan antarabangsa. (Rujuk buku program Istiadat Konvokesyen IKN ke-24 untuk maklumat lanjut). Selain itu juga, buat julung kalinya turut diacarakan Pelancaran Jurnal Seni Kraf Jilid Kedua dan Ketiga sebagai simbolik Sambutan Jubli Perak Penubuhan IKN yang Ke-25.
Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-24 yang berlangsung pada hari ini, dimeriahkan dengan Pesta Konvokesyen IKN Ke-24 bermula pada 11 dan 12 November 2026 (Rabu dan Khamis) pukul 10.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan antaranya jualan produk kraf, demonstrasi dan pameran Jurusan Seni Kraf melibatkan Jurusan Seni Kraf Batik, Logam, Kayu, Seramik, Tenunan dan Rotan serta jualan makanan.
LINK GAMBAR
https://drive.google.com/file/d/1kAOmj481sSX-bVEnJiPR42rx8wje9gWd/view?usp=sharing
SUMBER: KRAFTANGAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nuraishah Ya
Tel: +6018 3844780
E-mel: nuraishah@kraftangan.gov.my
--BERNAMA
Thursday, November 12, 2026
YYForce Mengeluarkan Panduan Hasil Sebanyak AS$70 Juta bagi FY2026
SINGAPURA, 12 Nov (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- YYForce Inc. (Nasdaq: YFOR) ("YYForce" atau "Syarikat"), sebuah platform teknologi robotik dan tenaga kerja perusahaan yang diperkasakan AI, hari ini mengeluarkan panduan kewangannya bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2026, dengan unjuran hasil tahunan penuh sebanyak AS$70.0 juta. Unjuran ini mencerminkan pertumbuhan hasil tahun ke tahun kira-kira 22% berbanding hasil teraudit bagi tahun fiskal 2025 sebanyak AS$57.2 juta.
Peningkatan hasil yang diunjurkan sebanyak AS$12.8 juta mencerminkan permintaan perusahaan yang semakin meningkat terhadap platform Workforce OS proprietari Syarikat, pelaksanaan berterusan robotik komersial serta perluasan kontrak perisian dan perkhidmatan berulang di seluruh Asia Tenggara, di samping sumbangan yang dijangka daripada perniagaan yang diperoleh atau ditubuhkan pada tahun 2026.
Sorotan Kewangan dan Operasi Utama
- Panduan Hasil FY2026: Disasarkan pada AS$70.0 juta, yang mewakili pertumbuhan hasil sebanyak kira-kira 22% berbanding tahun sebelumnya.
- Asas Hasil FY2025: Penanda aras teraudit sebanyak AS$57.2 juta.
- Peningkatan Hasil yang Diunjurkan: Unjuran peningkatan hasil sebanyak AS$12.8 juta.
- Pengembangan Margin: Algoritma pemadanan AI dan pelaksanaan perkhidmatan secara automatik terus meningkatkan kecekapan operasi di seluruh hab operasi serantau.
- Disiplin Kunci Kira-kira: Pengembangan dibiayai melalui penjanaan aliran tunai operasi yang positif serta struktur modal yang diperkemas.
“Peningkatan daripada penanda aras FY2025 sebanyak AS$57.2 juta kepada unjuran AS$70.0 juta pada FY2026, yang mewakili pertumbuhan kira-kira 22% tahun ke tahun, mencerminkan penggunaan berterusan seni bina operasi kami yang didayakan AI oleh perusahaan,” kata Mike Fu, Ketua Pegawai Eksekutif YYForce. “Dengan menyepadukan perisian pengagihan tugas proprietari dan robotik perkhidmatan komersial secara langsung ke dalam aliran kerja perusahaan, YYForce berusaha memberikan kecekapan kos kepada pelanggan kami sambil menyokong pertumbuhan hasil. Berdasarkan peluang perniagaan dalam perancangan semasa kami di Asia Tenggara, kami kekal komited untuk melaksanakan strategi pengembangan komersial kami bagi baki tahun fiskal 2026.”
Perihal YYForce Inc.
YYForce Inc. (Nasdaq: YFOR) ialah penyedia penyelesaian tenaga kerja dan perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu yang dipacu teknologi. Syarikat sedang membangunkan ekosistem tenaga kerja masa hadapan yang mengintegrasikan bakat manusia, kecerdasan buatan, robot humanoid dan robot perkhidmatan, teknologi IoT serta platform digital pengurusan fasiliti.
Melalui operasi tenaga kerjanya, keupayaan pengurusan fasiliti bersepadu, platform 24iFM serta inisiatif robotik yang sedang berkembang, YYForce berusaha menyokong peralihan ke arah penyampaian perkhidmatan kolaboratif antara manusia dan mesin yang diperkasa teknologi.
Untuk maklumat lanjut, layari www.yyforce.ai.
Kenyataan Berpandangan Ke Hadapan
Siaran akhbar ini mengandungi kenyataan berpandangan ke hadapan sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 27A Akta Sekuriti 1933, sebagaimana dipinda, dan Seksyen 21E Akta Bursa Sekuriti 1934, sebagaimana yang dipinda. Kenyataan ini berdasarkan jangkaan dan andaian semasa Syarikat serta maklumat yang tersedia kepada Syarikat setakat tarikh siaran ini. Kenyataan berpandangan ke hadapan boleh dikenal pasti melalui penggunaan perkataan seperti "mungkin", "akan", "sepatutnya", "menjangka", "mengantisipasi", "merancang", "berhasrat", "percaya", "menganggarkan", "berpotensi" atau ungkapan seumpamanya, termasuk bentuk negatif istilah-istilah tersebut.
Kenyataan berpandangan ke hadapan dalam siaran ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kenyataan berhubung unjuran hasil Syarikat sebanyak AS$70.0 juta bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2026 serta kadar pertumbuhan tahun ke tahun yang dijangkakan; permintaan yang dijangka terhadap perkhidmatan tenaga kerja, pengurusan fasiliti, perisian dan robotik Syarikat; masa dan jumlah kontrak pelanggan serta pelaksanaan perkhidmatan; margin operasi dan aliran tunai; serta strategi, keutamaan pelaburan dan objektif operasi Syarikat.
Kenyataan berpandangan ke hadapan melibatkan risiko dan ketidakpastian yang sememangnya wujud, dan peristiwa yang dibincangkan dalam kenyataan tersebut mungkin tidak akan berlaku. Peristiwa dan keputusan sebenar mungkin berbeza secara ketara serta tertakluk kepada pelbagai risiko, ketidakpastian dan andaian yang berkaitan dengan Syarikat, termasuk, antara lain, sejarah kerugian bersih Syarikat dan keraguan yang ketara tentang keupayaannya untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan; keupayaannya memperoleh pembiayaan dengan syarat yang boleh diterima; serta keupayaannya mengintegrasikan perniagaan yang baru diperoleh. Untuk perbincangan yang lebih terperinci mengenai faktor risiko, sila rujuk pemfailan Syarikat kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), termasuk seksyen "Faktor Risiko" dalam laporan tahunan terkini Syarikat menerusi Borang 20-F, sebagaimana dipinda, serta pemfailan berikutnya kepada SEC.
Panduan hasil ini mencerminkan anggaran semasa pihak pengurusan setakat tarikh siaran ini, belum disemak atau diaudit oleh juruaudit bebas Syarikat dan tidak seharusnya dijadikan sandaran sebagai ramalan keputusan sebenar. YYForce tidak mempunyai kewajipan untuk mengemas kini kenyataan ini kecuali sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang yang terpakai.
Hubungan Perhubungan Pelabur
YYForce Inc.
Jabatan Perhubungan Pelabur
E-mel: ir@yyforce.ai
Laman web: https://www.yyforce.ai
SOURCE: YYForce Inc.
Axi membuka peluang dagangan pra-IPO untuk OpenAI dan Anthropic
Kontrak niaga hadapan kekal baharu membolehkan pedagang memperoleh pendedahan kepada pergerakan harga yang dikaitkan dengan dua syarikat kecerdasan buatan terkemuka dunia menjelang penyenaraian sulung mereka di pasaran awam
Pelancaran ini dibuat ketika usaha untuk membawa syarikat-syarikat AI terkemuka ke pasaran awam yang semakin mendapat momentum. Anthropic, syarikat di sebalik pembantu AI Claude, telah memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) pada 26 Okt. 2026 dan merancang untuk disenaraikan di Nasdaq di bawah simbol dagangan ANT. Sementara itu, OpenAI, pembangun ChatGPT, turut meneruskan usaha ke arah penyenaraian awam yang berpotensi, manakala rancangan IPO jangka panjangnya terus menarik perhatian ketara pasaran.
Memandangkan jangkaan terhadap penilaian masa depan kedua-dua syarikat semakin meningkat, tawaran baharu Axi menyediakan cara alternatif bagi pedagang untuk mendapatkan pendedahan kepada penilaian pasaran syarikat-syarikat tersebut yang sentiasa berubah tanpa perlu menunggu penyenaraian di pasaran saham secara konvensional.
Melalui kontrak baharu ini, pedagang boleh mengambil sama ada posisi beli (long) atau posisi jual (short), sekali gus membolehkan mereka membuat spekulasi mengenai potensi pergerakan harga sama ada menaik atau menurun. Niaga hadapan kekal ini boleh didagangkan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, termasuk pada hujung minggu, sekali gus menawarkan fleksibiliti yang melangkaui waktu dagangan bursa konvensional.
Kontrak ini juga menawarkan leveraj sehingga 25:1, membolehkan pedagang mengambil posisi dengan margin permulaan yang lebih kecil berbanding jumlah pendedahan pasaran keseluruhan mereka. Sebagai kontrak niaga hadapan kekal, instrumen ini tidak memerlukan pedagang memiliki saham dalam mana-mana syarikat berkenaan atau memegang pegangan ekuiti pendasar.
Pengenalan kontrak OpenAI dan Anthropic ini terus memperluas rangkaian peluang yang ditawarkan oleh Axi, mencerminkan konvergensi yang semakin meningkat antara pasaran kewangan, teknologi baharu muncul dan industri AI global.
Perihal Axi
Axi ialah broker dagangan dalam talian global yang menyediakan akses kepada forex, saham, indeks dan komoditi untuk pedagang runcit serta profesional. Menerusi platform dagangan, sumber pendidikan dan alat analisis pasaran, Axi membantu pedagang menavigasi pasaran kewangan global dengan penuh keyakinan.
Pertanyaan media: mediaenquiries@axi.com
Dipromosikan oleh AxiTrader LLC. Dagangan membawa risiko kerugian pelaburan yang tinggi. Kandungan ini mungkin tidak tersedia di rantau anda. Tidak bertujuan untuk dijadikan nasihat pelaburan.
SUMBER: Axi Trader LLC
PENAFIAN: BERNAMA MREM tidak bertanggungjawab atas sebarang sebab penodaan laman web, penyalahgunaan, atau aktiviti haram yang berkaitan dengan mata wang kripto, rantaian blok, tokenisasi, atau bitcoin. Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai panduan atau pendapat, kerana ia bukan nasihat kewangan atau pelaburan. Gunakan maklumat ini atas risiko anda sendiri; kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penerbitan semula artikel ini.
--BERNAMA
Curia Memperluas Kapasiti Penapaian di León, Sepanyol
Pelaburan sebanyak 5 juta euro akan memperkukuh operasi penapaian dan pemprosesan hiliran
ALBANY, N.Y., 10 Nov (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Curia Global Inc. (Curia), sebuah organisasi penyelidikan, pembangunan dan pembuatan kontrak (CDMO) global, hari ini mengumumkan penyempurnaan pelaburan bernilai 5 juta euro bagi operasinya di León, Sepanyol. Projek ini menyokong pembangunan kemudahan penapaian jitu baharu bagi aktiviti pembangunan dan pembesaran skala melalui pengembangan kapasiti serta penaiktarafan utiliti tapak.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Curia membina sebuah kemudahan yang dilengkapi peralatan penapaian (USP) dan pemprosesan hiliran (DSP) bagi membolehkan aliran pembuatan yang dioptimumkan. Projek ini turut merangkumi pemasangan sistem utiliti kritikal bagi menyokong sepenuhnya operasi bangunan pengeluaran baharu tersebut. Penaiktarafan ini direka bagi menyediakan bekalan utiliti yang andal, sekali gus menyokong kelancaran operasi pengeluaran. Pemasangan peralatan baharu akan meningkatkan kapasiti kemudahan itu kepada 58,000 L.
“Curia komited untuk menyokong pelanggan dengan penyelesaian pembuatan yang andal dan cekap serta kapasiti yang fleksibel seiring kemajuan program mereka,” kata Jamie Grabowski, Presiden R&D di Curia. “Dengan menyelaraskan jejak peralatan kami dan menaik taraf utiliti penting, kami sedang membina asas yang kukuh untuk prestasi yang mampan di León.”
Kemudahan Curia di León mengkhusus dalam pembangunan bioteknologi, pengeluaran berasaskan penapaian dan pemprosesan hiliran untuk pelanggan daripada industri farmaseutikal, kosmetik, pertanian dan makanan. Peluasan ini mencerminkan tumpuan berterusan Curia terhadap pengukuhan rangkaian pembuatannya serta memastikan setiap tapak dilengkapi untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang melalui operasi yang andal dan piawaian kualiti yang tinggi.
Perihal Curia
Curia ialah sebuah organisasi penyelidikan, pembangunan dan pembuatan kontrak (CDMO) dengan rangkaian bersepadu yang merangkumi lebih 20 lokasi di seluruh dunia dan lebih 3,000 kakitangan yang menyokong pelanggan biofarmaseutikal dari peringkat penemuan hingga pengkomersialan. Keupayaan kami merangkumi molekul kecil, API generik dan biologik, dengan kepakaran dalam sokongan kawal selia, perkhidmatan analisis, pembuatan bahan ubat serta pembuatan isi dan kemasan steril. Ditubuhkan pada tahun 1991 sebagai Albany Molecular Research, Inc. (AMRI), Curia membina asasnya berteraskan inovasi saintifik dan pada asalnya dikenali kerana penemuan serta pembangunan bahan aktif farmaseutikal (API) di Allegra. Sepanjang tiga dekad yang lalu, kami telah memperluas keupayaan serta jejak global melalui pengambilalihan strategik, termasuk Crystal Pharma, Euticals, Gadea Pharmaceutical Group, Integrity Bio, LakePharma dan Ragactives. Hari ini, Curia bekerjasama dengan pelanggan untuk mempercepatkan garis masa penemuan, pembangunan dan pembuatan, bagi membantu membawa terapi yang mengubah kehidupan kepada pesakit. Layari kami di curiaglobal.com.
Hubungan Korporat:
Viana Bhagan
Curia
+1 518 512 2111
corporatecommunications@CuriaGlobal.com
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/b19cb429-4ba1-40fd-98c7-4faf09d9de53
SUMBER: Curia Global, Inc.
--BERNAMA
MALAYSIA PERKUKUH ASPIRASI HAB BIOEKONOMI HALAL GLOBAL MELALUI PLATFORM BIO-LINK: BUSINESS GROWTH ACCELERATION
(Tengah) Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, merasmikan majlis pelancaran Bio-Link: Busi...
-
Aplikasi Pelbagai Bahasa Tabelog untuk Pengembara Antarabangsa — Perkhidmatan Carian dan Tempahan Restoran Terbesar Jepun Alami Dunia Kulina...
-
NetBox Copilot mempercepatkan operasi dan automasi, disamping menyediakan keupayaan layan diri kepada pasukan bukan IT NEW YORK, 12 Feb (B...
-
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa mulai 1 Februari 2020 Pusat Pempros...