KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Walaupun pandemik COVID-19 kebelakangan ini terkawal dan program vaksinasi di Malaysia sudah bermula, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) terus menggesa pemain industri dari sektor kayu-kayan dan perabot supaya tidak mengambil ringan terhadap penularan wabak ini dan terus memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
MTC dengan kerjasama dua persatuan kayu-kayan iaitu Majlis Perabot Malaysia (MFC) dan Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC) telah menghasilkan video berdurasi 3.53 minit bagi menekankan kepentingan mematuhi SOP untuk menangani penularan virus COVID-19.Video ini memaparkan keperluan untuk menggunakan pelitup muka, mencuci tangan, melaksanakan proses sanitasi serta pemeriksaan suhu badan dan memastikan penjarakkan fizikal bagi para pekerja kilang dalam sektor kayu dan perabot. Video SOP yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia boleh didapati dalam sarikata yang berbeza iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Bengali, Nepali dan Burma. Ini bagi memberi kemudahan terutamanya kepada pekerja asing untuk memahami SOP ini.
"Kita boleh memenangi perang melawan wabak COVID-19 ini dengan bersatu. Ungkapan 'Kita Jaga Kita' bukanlah sesuatu yang hanya diterap dalam kehidupan peribadi tetapi juga dalam perniagaan kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif MTC Tuan Muhtar Suhaili menerangkan tujuan Majlis tampil dengan video ini untuk sektor kayu-kayan dan perabot.
Industri kayu-kayan merupakan sektor ketiga terbesar dalam industri komoditi selepas minyak sawit dan getah dengan nilai eksport sebanyak RM22.02 bilion pada tahun 2020 yang mewakili kira-kira 14% daripada sumbangan komoditi dalam pendapatan negara.
Industri kayu-kayan dan perabot rata-rata telah berjaya menangani pandemik COVID -19 dengan sumber yang terhad. Ia antara beberapa industri yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bulan Mac tahun lalu. Pengusaha kilang kayu-kayan dan perabot telah mengambil tindakan proaktif bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mengelak dari sebarang kejadian tidak diingini.
MTC akan berkongsi pautan ke video SOP dengan semua syarikat kayu-kayan dan perabot untuk digunakan sebagai rujukan membimbing dan mengingatkan pekerja dan kakitangan mereka supaya mematuhi SOP pada setiap masa.
Sila klik pautan di bawah untuk gambar MTC CEO Tuan Muhtar Suhaili:
http://mtc.com.my/i/corporate-mt-CEO.jpg
Mengenai Majlis Kayu-Kayan Malaysia
Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) ditubuhkan pada Januari 1992 untuk menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan Malaysia di peringkat global. Objektif utama MTC adalah untuk mempromosikan dan membangunkan pasaran bagi produk kayu Malaysia di peringkat global, menggalakkan pembangunan industri dengan meningkatkan penggunaan teknologi, meningkatkan bekalan bahan mentah, menyediakan perkhidmatan maklumat dan meningkatkan imej industri perkayuan Malaysia di persada dunia. Maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti Majlis boleh diperolehi dari www.mtc.com.my.
Dikeluarkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia
http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14401
No comments:
Post a Comment