KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berbesar hati dengan kejayaan menganjurkan Wacana bertajuk “Hak-Hak Generasi Masa Depan (Discourse on the Rights of Future Generations). Program dalam talian ini telah memanfaatkan penyertaan pakar-pakar Perlembagaan, Syariah, Undang-Undang Antarabangsa, Hak Asasi, Ekonomi, aktivis Belia dan NGOs. Tema perbincangan ialah “Hak-Hak Generasi Masa Depan” atau “Kewajiban terhadap Generasi Akan Datang”.
Wacana ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YABhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi IKIM, yang mengingatkan keperluan berfikir tentang jaminan “Hak-Hak Generasi Akan Datang” dalam polisi, program dan aktiviti nasional.
Ucapan Tema “Hak-Hak Generasi Masa Depan” telah disampaikan oleh YBhg Datuk Emeritus Profesor Dr Shad Saleem Faruqi—Penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya—yang menerangkan Generasi Masa Depan dalam konteks hak asasi, kemuliaan insan, keadilan yang merangkum pelbagai generasi, khilafatullah fi’l-ard, undang-undang antarabangsa, kerangka moden undang-undang antarabangsa dan perundangan Malaysia. “Hak-Hak Generasi Masa Depan” adalah ilmu baharu yang banyak manfaatnya.
Oleh kerana tema “Hak-Hak Generasi Masa Depan” merangkum isu agama, syariah, ekonomi, pendidikan, budaya dan institusi, tujuh orang Pengulas pakar atau pengkhususan turut dijemput, iaitu:
1. Yang Amat Arif Dato’ Setia Dr Haji Mohd Naʿim bin Haji Mokhtar (Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), yang membincangkan tentang keperluan menjamin capaian terbaik sistem keadilan yang dikuatkuasakan untuk generasi akan datang.
2. Tuan Haji Roslan bin Mat Nor (Timbalan Ketua, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Pejabat Peguam Negara, Malaysia), yang menjelaskan tentang keperluan memelihara kerukunan masyarakat Malaysia dalam batasan Perlembagaan dan penguatkuasaan berintegriti perundangan sedia ada.
3. Encik Jufitri bin Joha (Presiden, Majlis Belia Malaysia), yang membicarakan tentang keperluan jaminan masa depan menerusi pembangunan sebenar dan pendidikan sepanjang hayat, terutama untuk golongan belia.
4. Dato’ Ahmad Nazim bin Abdul Rahman (Pengarah Urusan (Asia Tenggara), Allied Investment Partners PJSC), yang menerangkan tentang keperluan kepada pengagihan kekayaan yang adil dan saksama, menerusi instrumen Indeks Kesejahteraan (Well-Being Index); upah dan gaji sektor swasta yang saksama; dan, galakan keusahawanan serta pembasmian pendapatan tanpa berusaha (unearned income or rent-seeking).
5. Tuan Haji Ir. Mohd Jamaludin bin Shamsudin (Chief Executive Officer, Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), yang menegaskan keperluan kepada perpaduan dan kehidupan yang rukun dan damai antara pelbagai penganut agama, yang diurus-tadbir dengan baik (good governance).
Wacana ini menghargai bahawa idea “Hak-Hak Generasi Masa Depan” atau “Kewajiban terhadap Generasi Akan Datang” berupaya untuk menjadi instrumen dan model yang memberi perspektif baru dalam membina masa hadapan Malaysia yang lebih baik. Dasar dan polisi negara perlu mengambil kira kesan sesuatu rancangan dan projek terhadap generasi akan datang.
Unit Perhubungan Korporat
3 Mac 2021 / 19 Rejab 1442H
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
No comments:
Post a Comment