Saturday, June 1, 2024

TALENTCORP MEMBAWA PULANG ANUGERAH JUARA PRODUKTIVITI YANG MENCERMINKAN KOMITMEN CEMERLANG DALAM MEMUDAHCARA SYARIKAT




KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) --
 Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan bangganya mengumumkan bahawa Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat tersebut telah merangkul anugerah Juara Produktiviti (Productivity Champion (Leader)) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Anugerah tersebut telah disampaikan pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Produktiviti, yang diadakan sempena mesyuarat badan induk Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) ke-66, yang terdiri daripada 20 wakil negara anggota.
 
Anugerah Juara Produktiviti tersebut telah disampaikan oleh Datuk Kamaruzzaman Johari, Pengerusi MPC untuk mengiktiraf sumbangan penting TalentCorp kepada peningkatan produktiviti negara melalui kejayaan pelaksanaan projek di bawah Kumpulan Kerja Teknikal Modal Insan (TWGHC).
 
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia (KESUMA) turut menyampaikan ucapan tahniah kepada TalentCorp di atas pencapaian mereka serta menekankan bahawa pengiktirafan ini menjadi contoh teladan kepada semua warga kerja kementerian dan agensinya untuk mengekalkan momentum produktiviti dan komited dalam mencari penyelesaian yang inovatif untuk meningkatkan perkhidmatan mereka.
 
"TalentCorp telah melancarkan beberapa inisiatif yang membantu memudahkan syarikat di Malaysia. ​​Ini penting kerana ia membantu meningkatkan keyakinan syarikat-syarikat serta keterjaminan perniagaan mereka di Negara ini dengan proses yang direka bentuk untuk menyokong operasi mereka. Usaha ini menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara, dengan dasar dan inisiatif yang meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, perniagaan dan perdagangan,” katanya.
 
Anugerah itu menunjukkan keberkesanan hubungan kerjasama antara TalentCorp, MPC, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam memacu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra perniagaan. Inovasi terkini termasuk penubuhan platform Xpats Gateway platform sehenti melalui PEMUDAH, yang meletakkan 26 agensi ke dalam satu platform untuk pemprosesan yang lebih cekap dalam pengurusan ekspatriat. Inisiatif lain termasuk pengesahan dokumen atas talian dan pembayaran atas talian untuk perkara berkaitan ekspatriat, penghantaran pas yang diluluskan, dan penubuhan Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk memudahkan pengeluaran pas segera.
 
Usaha dan inovasi ini diunjurkan telah menjimatkan dana yang berjumlah RM300 juta atas syarikat-syarikat di Malaysia dari November 2021 hingga sekarang.
 
Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, menzahirkan rasa terima kasihnya kepada jawatankuasa anugerah MPC atas pengiktirafan tersebut. Beliau menyatakan bahawa ia adalah satu pencapaian yang membanggakan dan ia merupakan satu tanggungjawab yang besar bagi TalentCorp untuk memastikan semua mandat dan amanah daripada KESUMA dan Kerajaan Malaysia ditunaikan dengan sebaik mungkin.
 
"Ia bukan perjuangan saya seorang. Saya mempunyai sebuah pasukan yang berdedikasi dan menyokong Kumpulan TalentCorp dengan sepenuh hati untuk memastikan tenaga kerja dan ekonomi negara terus maju," katanya.
 
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan kami di KESUMA, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk memberi manfaat kepada negara dan menggalakkan pertumbuhan ekonominya,” katanya.
 
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan TalentCorp, sila layari www.talentcorp.com.my

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
 
Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
 
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada 3 penawaran khidmat utama: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram. 

Sumber: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) 

http://mrembm.bernama.com/viewsm.php?idm=18199

No comments:

Post a Comment

KAKAKU.COM: PELANCARAN PERKHIDMATAN TEMPAHAN RESTORAN TERBESAR DI JEPUN UNTUK PELAWAT LUAR NEGARA

Aliran Tempahan (Grafik: Business Wire) Tempahan dalam talian di lebih 35,000* 1  restoran tersedia dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina (Dipe...