Friday, June 21, 2024

SYARIKAT FRANCAIS FOKUS LEBARKAN SAYAP KE PASARAN ANTARABANGSA




Table

Datuk Dr. Radzali Hassan, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA)


KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Francais Malaysia fokus melebarkan sayap perniagaan ke pasaran antarabangsa melalui program Misi Perdagangan Antarabangsa (Ekspo Francais) dan Specialized Business Mission (Padanan Perniagaan) anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan sokongan dan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Kedua-dua program ini bertujuan untuk mempromosikan syarikat francais tempatan Malaysia dan seterusnya membantu mereka menembusi pasaran negara yang dilawati.

Tahun ini, MFA telah melaksanakan Specialized Business Mission (SBM) pertama pada 9-12 Jun 2024 di Jakarta, Indonesia dan  akan diteruskan dengan misi selanjutnya ke Manila, Filipina pada 23 hingga 26 Jun ini. Misi ini akan disertai oleh empat syarikat francais Malaysia yang akan  mempromosikan pakej perniagaan francais mereka kepada bakal pelabur. Antara syarikat terlibat adalah UCMAS, IrisPro, Q-Dees, dan MuzArt.

Menurut Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan, program pengantarabangsaan ini dilaksanakan sebagai inisiatif bagi mendukung usaha pihak kerajaan dalam membangunkan ekonomi madani seterusnya menjadikan Malaysia sebagai peneraju di rantau Asia Tenggara.

Misi Pedagangan Antarabangsa dan SBM ini merupakan inisiatif di bawah  Enhanced Franchise Development Program (EFDP) yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 2015. Setakat hari ini, sebanyak lebih 70 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi lebih 80 pasaran antarabangsa melalui program ini.

“Kami merasa berbangga dengan pencapaian ini dan semestinya akan terus komited dalam melaksanakan program sebegini agar dapat menggalakkan lebih banyak syarikat francais tempatan menembusi pasaran global,” tambah beliau.
 
Menurut wakil daripada syarikat Q-Dees, berdasarkan penyertaan mereka dalam program ini pada penganjuran sebelum, program ini telah memberi impak yang sangat positif dalam perkembangan syarikat dari segi pemasaran ke arah global dan sekali gus membantu syarikat mereka mencapai sasaran untuk membuka cawangan baru di negara yang dilawati.

Manakala, wakil daripada IrisPro pula berkata mereka menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak kerjasama dan jaringan perniagaan dengan syarikat francais tempatan kearah mencapai hasrat bagi mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh  Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata MFA berharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan tambahan dana peruntukkan untuk program pembangunan francais dalam Belanjawan 2025 ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Bersempena dengan program SBM di Manila ini juga turut diadakan beberapa lawatan kerja ke beberapa syarikat tempatan seperti Max’s Restaurant, Jolibee serta syarikat francais Malaysia iaitu Oldtown White Coffee yang telah berjaya membuka outlet pertama mereka di SM City Grand Central, Filipina hasil daripada Misi Perdagangan tahun sebelumnya di sana.

Selain itu, MFA juga telah melaksanakan beberapa Misi Perdagangan Antarabangsa ke beberapa buah negara yang berpotensi untuk mengembangkan jenama francais Malaysia seperti UAE, Jerman, Taiwan dan akan diteruskan dengan Thailand, China dan juga Singapura sehingga hujung tahun ini. 


Latar Belakang Program Specialized Business Mission (SBM)

· Program kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

· SBM adalah aktiviti di bawah Enhanced Francise Development Program (EFDP)

· SBM bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran perniagaan di Filipina menerusi pematerai padanan perniagaan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia bersama pelabur antarabangsa
 

SUMBER : Persatuan Francais Malaysia (MFA) 

No comments:

Post a Comment

KAKAKU.COM: PELANCARAN PERKHIDMATAN TEMPAHAN RESTORAN TERBESAR DI JEPUN UNTUK PELAWAT LUAR NEGARA

Aliran Tempahan (Grafik: Business Wire) Tempahan dalam talian di lebih 35,000* 1  restoran tersedia dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina (Dipe...