Pemerolehan memperluaskan penawaran digital utama Syarikat kepada tempat pasaran Asia Tenggara yang pesat berkembang
SANTA MONICA, Calif., 10 Jun (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Entravision Communications Corporation (NYSE: EVC) (“Entravision” atau “Syarikat itu”) hari ini mengumumkan bahawa Syarikat itu telah memasuki satu perjanjian muktamad untuk memperolehi MediaDonuts, sebuah syarikat prestasi dan penjenamaan pemasaran digital terkemuka yang mempunyai operasi merentasi tujuh buah negara di rantau Asia Pasifik. Selama lebih satu dekad, MediaDonuts telah membantu pelanggan mereka mencapai matlamat prestasi dan penjenamaan mereka merentasi saluran media digital. Pemerolehan tersebut dijangka dimeterai pada atau sekitar 1 Julai, 2021.
Siaran media ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini:
https://www.businesswire.com/news/home/20210609005862/en/
Ditubuhkan pada tahun 2010, MediaDonuts menawarkan keupayaan pengiklanan digital yang meluas melalui perkongsian strategik mereka dengan platform media dan teknologi global yang utama. Beribu pejabat di Singapura, MediaDonuts melayani lebih daripada 500 pelanggan jenama teknologi dan pengguna.
“Kami sangat teruja untuk mengumumkan pemerolehan kami ke atas MediaDonuts,” kata Walter Ulloa, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif di Entravision. “Pemerolehan ini adalah satu padanan yang semula jadi dengan strategi digital dan transformasi global keseluruhan bagi perniagaan kami. Entravision sentiasa memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian pengiklanan di pasaran pertumbuhan tinggi dan bekerjasama dengan platform media dan teknologi terkuat di dunia. Kami percaya bahawa penggabungan MediaDonuts ke dalam platform Entravision menambahkan kepimpinan, operasi jualan dan penawaran digital yang akan terus menggerakkan ke hadapan usaha digital kami.”
Pengambilalihan MediaDonuts oleh Entravision adalah langkah penting yang seterusnya di dalam rancangan Syarikat itu untuk menjadi sebuah penyedia perkhidmatan teknologi pemasaran terkemuka di dalam ekonomi pertumbuhan paling tinggi di dunia. Asia Tenggara merupakan satu perkembangan untuk syarikat, oleh kerana Entravision akan memasuki ke sebuah pasaran pengguna baharu yang mewakili hampir 700 juta orang, 400 juta daripadanya berhubungan secara digital.
“Semasa kami menubuhkan MediaDonuts, kami mahu membina sebuah perusahaan perkhidmatan pemasaran dan prestasi digital yang dapat menghubungkan pengiklan dan agensi dengan lancar dengan audiens sasaran mereka. Dengan mengadakan satu gabungan perkongsian yang ideal, termasuk beberapa rangkaian sosial dan hiburan terbesar di dunia, kami telah dapat melakukannya dan banyak lagi,” kata Pieter-Jan de Kroon, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di MediaDonuts. “Dengan perniagaan kami berada pada kedudukan untuk berjaya, kami amat teruja sekarang kerana mempunyai peluang untuk menyertai platform digital global yang telah dibina oleh Entravision sepanjang satu dekad yang lalu. Saya yakin dengan begitu banyak sinergi pembangunan komersial, teknologi dan produk akan dapat dicapai oleh perniagaan kami ketika bergerak ke hadapan sebagai sebuah entiti gabungan.”
“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan Pieter-Jan dan seluruh pasukan MediaDonuts ke dalam keluarga Entravision,” kata Juan Saldívar, Ketua Pegawai Digital, Strategi dan Kebertanggungjawapan Entravision. “Memperluaskan perniagaan digital kami adalah teras kepada rancangan pertumbuhan keseluruhan kami, dan berikutan pelaburan majoriti kami di Cisneros Interactive pada Oktober lalu, digital kini mewakili lebih daripada 65 peratus daripada pendapatan kami. Dengan sebuah platform digital global yang kini siap untuk menjangkau dan melayani pelanggan di 32 buah negara, kami yakin penambahan MediaDonuts akan meningkatkan lagi penawaran perkhidmatan kami dan membantu memacukan pertumbuhan kami yang berterusan di peringkat global.”
Berikutan pemeteraian urus niaga ini, semua pekerja MediaDonuts akan tetap bersama syarikat itu, dan Pieter-Jan de Kroon akan terus berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi perniagaan itu yang berpusat di ibu pejabatnya di Singapura. MediaDonuts mempunyai sebuah pasukan yang terdiri daripada lebih 80 orang pekerja yang ditempatkan di Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan India. MediaDonuts sebagai inovator jualan dan media yang canggih menawarkan perkhidmatan dalam pembelian, teknologi dan wawasan programatik dan perancangan media yang membolehkan jenama-jenama terkemuka untuk mengubah strategi penglibatan pelanggan digital mereka. Syarikat itu telah juga membina sebuah cabang representasi media yang menyokong sebahagian daripada nama-nama terbesar di dalam media dan teknologi merentasi Asia Tenggara melalui organisasi jualan mereka yang luas.
Untuk maklumat lanjut mengenai urus niaga itu, sila semak pemfailan terkini Syarikat itu dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa pada Borang 8-K.
Maklumat mengenai Entravision Communications Corporation
Entravision adalah sebuah syarikat media, pemasaran dan teknologi global yang dipelbagaikan yang melayani pelanggan di seluruh Amerika Syarikat dan di lebih 20 buah negara merentasi Amerika Latin, Eropah, dan Asia. Entravision mempunyai 54 stesen televisyen dan merupakan kumpulan gabungan terbesar bagi rangkaian televisyen Univision dan UniMás, dan 48 stesen radio berbahasa Sepanyol yang menampilkan bakat-bakat yang telah memenangi anugerah dan diiktiraf di peringkat nasional. Portofolio digital dinamik kami termasuk Entravision Digital, yang melayani PKS di pasaran Latino di Amerika Syarikat yang berketumpatan tinggi dan menyediakan penyelesaian programatik mudah alih termaju dan platform sisi permintaan yang membolehkan pengiklan untuk melaksanakan kempen prestasi dengan menggunakan algoritma pembidaan pembelajaran mesin, bersama dengan Cisneros Interactive, sebuah pemimpin di dalam penyelesaian pengiklanan digital di pasaran Amerika Latin dan Hispanik Amerika Syarikat yang mewakili platform teknologi utama. Saham bagi Saham Biasa Kelas A Entravision didagangkan di Bursa Saham New York di bawah simbol tiker: EVC. Ketahui lebih lanjut mengenai semua penawaran media, pemasaran dan teknologi kami di entravision.com atau berhubung dengan kami di LinkedIn dan Facebook.
Maklumat mengenai MediaDonuts
MediaDonuts adalah sebuah syarikat pengiklanan dan teknologi dalam talian yang membantu pengiklan mencapai matlamat prestasi dan penjenamaan mereka merentasi saluran media digital. MediaDonuts menghubungkan jenama dengan audiens mereka masing-masing melalui perkongsian strategik dengan platform media dan teknologi global utama. MediaDonuts mempunyai pejabat di tujuh buah negara merentasi APAC dengan ibu pejabatnya di Singapura. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mediadonuts.com/.
http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14634
No comments:
Post a Comment