Thursday, September 19, 2024

KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN RESOLUSI PERHIMPUNAN AGUNG PBB

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menggesa Israel berundur ke sempadan sebelum 1967. 
 
Resolusi ini sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan menyokong Ketetapan Penasihat ICJ baru-baru ini pada 19 Julai 2024, yang mengesahkan larangan sejagat terhadap pemerolehan wilayah secara paksa.
 
Walaupun ini merupakan langkah penting ke arah keadilan, IKIM mengesyorkan semua pihak untuk meneruskan tindakan berani bercakap benar kepada kuasa zalim tersebut, dan secara bijak melancarkan penentangan positif yang berasaskan ilmu terhadap tindakan-tindakan zalim yang berterusan rejim Zionis.
 
IKIM menggesa masyarakat Islam antarabangsa bersama bangsa-bangsa lain yang prihatin untuk memastikan resolusi ini membawa kepada tindakan yang berkesan dan tidak menjadi simbolik semata-mata. 
 
Masyarakat dunia sebagai keturunan Bani Adam mesti kekal bersatu dalam memastikan Israel bertanggungjawab dan menguatkuasakan keputusan penting ini.
 
IKIM juga memuji pendirian kukuh yang diambil oleh negara-negara OIC, termasuk Malaysia, dalam mengundi menyokong resolusi itu. 

Pendirian kukuh ini mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia untuk menangani kezaliman terhadap rakyat Palestin. Aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara yang bertamadun mestilah termasuk membantu pihak yang memerlukan sokongan kita, walaupun di negara yang jauh.
 
Sokongan ini mengisyaratkan komitmen kita bersama untuk menegakkan keadilan dan membina dunia antarabangsa yang lebih tertib demi masa depan bersama umat manusia.
 
YBHG. PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
KETUA PENGARAH
INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=18523

No comments:

Post a Comment

XSOLLA MELANTIK ZORAN VASILJEV SEBAGAI NAIB PRESIDEN GLOBAL STRATEGIC PARTNERSHIPS

  (Grafik: Xsolla) Vasiljev Membawa Pengalaman Meluas dan Kepimpinan untuk Mendorong Pengembangan Global LOS ANGELES, 26 Sept (Bernama- BUSI...