Friday, May 19, 2023

MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA DENGAN LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA

CYBERJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah dimeterai oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak diketuai oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dan YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.
 
MoU ini dimeterai hasil kesepakatan dua entiti penting negara yang berbeza lapangan profesional menyahut saranan membangun negara MADANI khususnya dalam hal pendidikan percukaian serta perkembangan bahasa dan sastera berdasarkan fungsi masing-masing.
 
Antara agenda kerjasama utama yang disepakati termasuklah Program Cakna Percukaian HASiL-DBP. Kerjasama ini memperkukuh dan memperluas program kesedaran cukai kepada masyarakat melalui pelbagai wahana penerbitan dan saluran media sosial DBP. Selain itu, bakat pengkaryaan turut digilap melalui kerjasama pengembangan bakat sastera dan penulisan.
 
“Jalinan kerjasama strategik ini juga diyakini dapat meneroka pembangunan bakat kakitangan di kedua-dua agensi dalam hal percukaian serta menyuburkan semangat cinta akan bahasa dan sastera kebangsaan yang mengimbangi kemajuan ekonomi dan kemajuan insaniah dalam pembentukan negara bangsa gemilang masa depan,” jelas Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.
 
Sementara itu, Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam ucapannya menjelaskan bahawa kerjasama yang dijalinkan dengan DBP ini merupakan antara inisiatif HASiL dalam merakyatkan percukaian selaras dengan pendekatan kesedaran (awareness), pendidikan (education) dan perkhidmatan (services) atau ringkasnya AES yang dilaksanakan oleh HASiL pada masa kini. Melalui pendekatan ini adalah diharapkan agar masyarakat akan lebih memahami fungsi dan peranan cukai dalam pembangunan negara sekali gus mendorong mereka untuk melaksanakan tanggungjawab percukaian kepada negara. Semoga pelaksanaan MoU ini memberi impak kepada pematuhan cukai sukarela dan seterusnya menyumbang kepada kelestarian hasil negara.
 
Turut hadir dalam majlis yang bersejarah ini ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP dan Puan Wan Ramiza Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL serta pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua agensi.
 
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17127

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...