Timbalan Ketua Pengarah MPC, YBrs. Tuan Haji Zahid Ismail menyampaikan sijil pengiktirafan Productivity Champion – Category Leader kepada Ketua Pegawai Eksekutif, ATSC Sdn. Bhd, Leftenan Kolonel Dato’ Haji Mohd Fadzar bin Haji Suhada diiringi Pengarah MPC Wilayah Utara, Mohamad Azrol Mohamad Dali ketika acara Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023.
PETALING JAYA, 26 Mei (Bernama) -- Pembangunan bakat berketrampilan lebih kondusif dalam persekitaran kerja yang harmoni beserta hubungan baik antara majikan dan pekerja. Sistem upah dan pampasan pekerja yang berkesan merupakan antara pemangkin utama prestasi dan produktiviti pekerja serta mencipta suasana kerja yang baik.
Amalan terbaik sistem gaji yang berkesan di Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) Sdn. Bhd. telah melayakkan syarikat tersebut menerima pengiktirafan Productivity Champion – Category Leader oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
MPC menyampaikan sijil pengiktirafan tersebut kepada Leftenan Kolonel Dato’ Haji Mohd Fadzar bin Haji Suhada, Ketua Pegawai Eksekutif, ATSC Sdn. Bhd. ketika acara Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Tuan Haji Zahid Ismail berkata bahawa pengiktirafan tersebut merupakan cerminan kepimpinan berkesan dan pencapaian baik organisasi secara keseluruhan.
“Kerajaan menyedari kepentingan industri aeroangkasa kepada pengembangan dinamik ekonomi Negara. MPC sendiri telah dipertanggungjawabkan bagi menubuhkan Nexus Produktiviti Aeroangkasa pada tahun ini bagi meningkatkan produktiviti industri di peringkat firma dan sektoral, selari dengan matlamat dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.”
“Pengiktirafan pada hari ini amat bertepatan dengan asas penubuhan Nexus Produktiviti Aeroangkasa yang mengetengahkan peranan industri dalam memacu produktiviti dan daya saing. Ini sekaligus menonjolkan amalan terbaik pengurusan yang boleh diikuti oleh syarikat-syarikat aeroangkasa lain di Malaysia.”
“Pembangunan bakat merupakan pemacu pertumbuhan produktiviti yang pesat. Pengiktirafan sebagai Productivity Champion meletakkan individu dan organisasi sebagai majikan dan tempat kerja pilihan yang mampu membangun dan mengekalkan bakat yang kompeten dan produktif.”
“Di bawah teraju kepimpinan Leftenan Kolonel Dato’ Haji Mohd Fadzar, ATSC telah melaksanakan sistem upah dan pampasan pekerja yang dikaitkan dengan produktiviti, di mana asas utamanya ialah penciptaan dan perkongsian keuntungan bersama.”, jelas Haji Zahid.
Menurut MPC, pelaksanaan sistem upah dan pampasan yang di amalkan di ATSC telah melayakkan syarikat menerima Sijil Perakuan Organisasi Kemakmuran Bersama (eSPO) yang diiktiraf MPC, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia. Ini seterusnya membawa kepada pengiktirafan sebagai Productivity Champion.
Productivity Champion merupakan inisiatif MPC bertujuan menghargai individu dan organisasi yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif peningkatan produktiviti yang memberikan impak kepada prestasi ekonomi negara, sama ada melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, penambahbaikan proses dan produk, pendigitalan perniagaan, pengurusan dan pentadbiran, serta pengukuhan ekosistem perniagaan.
Leftenan Kolonel Dato’ Haji Mohd Fadzar bin Haji Suhada, CEO, ATSC Sdn. Bhd. menyatakan bahawa pengiktirafan yang diterima merupakan hasil usaha bersama warga ATSC.
“Bakat adalah aset penting ATSC. Tumpuan syarikat bukan sahaja untuk menarik bakat yang cemerlang dalam bidang aeroangkasa, malah sama penting adalah untuk mengekalkan bakat sedia ada. Di ATSC, kami percaya bahawa gaji dan insentif mestilah setimpal dengan produktiviti dan pencapaian pekerja.”
“ATSC berharap agar sistem gaji dan insentif yang kami laksanakan memberi manfaat kepada kakitangan dan pengurusan syarikat dan mampu menjadikan syarikat lebih berdaya saing serta berdaya tahan dalam pasaran.”
“ATSC mengucapkan jutaan terima kasih kepada MPC di atas pengiktirafan ini.”, kata Leftenan Kolonel Dato’ Haji Mohd Fadzar selepas menerima Sijil Pengiktirafan.
About Malaysia Productivity Corporation (MPC)
Malaysia Productivity Corporation (MPC) is a statutory body under the Ministry of International Trade and Industry (MITI). MPC promotes productivity, quality and competitiveness to the industries and organisations in Malaysia. MPC's vision is to be the leading organisation in productivity enhancement for global competitiveness and innovation.
SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
No comments:
Post a Comment