Monday, March 11, 2019

SalesCandy mahu tingkatkan hasil dan berkembang ke Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Syarikat pemula niaga teknologi tempatan, SalesCandy International Sdn Bhd mahu meningkatkan hasil kepada tiga kali ganda pada 2019 melalui pengembangan agresif ke seluruh Asia Tenggara. 

Kerjasama penyedia penyelesaian teknologi itu bersama Pemecut Inovasi Korporat Serantau Thailand (RISE) pada Januari dan pelanggan pertamanya di Vietnam pada akhir 2018 merupakan langkah besar dalam pelan pertumbuhan dinamik syarikat tersebut.

Ditubuhkan pada 2017, SalesCandy menawarkan aplikasi dan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti jualan merentasi pelbagai pengguna dalam industri seperti hartanah, pendidikan swasta, perbankan, insurans, automotif, kesihatan dan kesejahteraan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Stanley Chee berkata perkongsian baharu itu akan menyaksikan RISE mewakili syarikat dalam memperkenalkan dan memasarkan penyelesaiannya di Thailand.

"Kerjasama dengan RISE akan membawa syarikat selangkah lebih dekat kepada matlamat kami bagi menjadi peneraju serantau serantak dengan peningkatan kehadiran kami di Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chee berkata produk kebanggaan syarikat itu, aplikasi SalesCandy, membolehkan jurujual memberi respons dalam masa kurang dari lima minit untuk sebarang pertanyaan yang dikemukakan melalui pelbagai saluran tradisional dan digital, justeru meningkatkan kadar penukaran jualan.

"Secara tradisional, proses ini memerlukan dua hingga tujuh hari untuk selesai, ini akan menyebabkan kerugian yang besar dalam peluang jualan.

"SalesCandy memberi jaminan peningkatan sebanyak 15 peratus dalam kadar penutupan jualan dalam tempoh 60 hari selepas aplikasi itu berjalan atau pelanggan akan menerima bayaran balik jika keputusan sebaliknya," katanya.

Chee ketika bercakap mengenai prospek berkata, syarikat merancang untuk membawa siri produk terkini ke dalam pasaran dengan rumusan khusus yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan jualan bagi pelanggan-pelanggan baharu dan sedia ada.

“Sudah pasti, ada banyak dalam perancangan dan kami semua teruja dengan prospek dan cabaran masa depan," katanya. 

SalesCandy kini beroperasi di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...