Friday, May 10, 2024

APO MENJALINKAN INISIATIF STRATEGIK DAN PERKONGSIAN GLOBAL UNTUK MENINGKATKAN PRODUKTIVITI




TOKYO, 10 Mei (Bernama-BUSINESS WIRE) --
 Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) menegaskan semula komitmen untuk menangani cabaran produktiviti yang mendesak dengan pengumuman beberapa inisiatif strategik dan perkongsian. Ikhtiar ini memanfaatkan kepakaran global dan usaha kerjasama dalam meningkatkan produktiviti dan memacu pertumbuhan mampan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Dalam kerjasama penting baru-baru ini, APO berganding bahu dengan Institut Européen d'Administration des Affaires (INSEAD) yang berprestij untuk merasmikan program kepimpinan eksekutif intensif yang disesuaikan untuk Pertubuhan Produktiviti Kebangsaan (NPO). Program tersebut diadakan dari 29 April hingga 3 Mei 2024 di kampus Eropah INSEAD di Fontainebleau, Perancis, serta telah dihadiri oleh 12 pegawai eksekutif yang mengetuai NPO masing-masing di bawah bimbingan lapan pemimpin dan pengamal global yang berwibawa. Tokoh terkenal termasuk Alexandra Roulet, bekas penasihat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Philippe Aghion, pengasas teori pertumbuhan baharu, yang menangani cabaran produktiviti baharu muncul dan metodologi strategik untuk penyelesaian perkara tersebut, dengan tumpuan kepada kemakmuran melalui inovasi teknologi.

Ucapan sulung Setiausaha Agung APO Dr. Indra Pradana Singawinata pada permulaan program menegaskan keperluan kritikal bagi Asia Pasifik untuk menangani cabaran produktiviti dengan daya tahan dan inovasi. Rangka kerja kepimpinan menerima guna perspektif berteraskan perniagaan untuk merumuskan inisiatif bagi produktiviti mampan dan pertumbuhan terangkum. Pemimpin NPO yang menyertai akan memuktamadkan cadangan inisiatif produktiviti mereka dalam masa tiga bulan di bawah bimbingan dan pemudahan Profesor Philip Parker dari INSEAD.

Mesyuarat strategik antara Setiausaha Agung APO, Dr. Indra dan Setiausaha Agung Mathias Cormann dari Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah diadakan pada 1 Mei di Paris. Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh pegawai OECD lain seperti Andreas Schaal, Pengarah, Direktorat Perhubungan dan Kerjasama Global; Paul Schreyer, Pengarah, Direktorat Statistik dan Data; dan Thomas Schnöll, Timbalan Ketua Staf berpusatkan pada kerjasama yang lebih mendalam mengenai peningkatan produktiviti, kelestarian dan inovasi. Ini menandakan satu langkah penting dalam membaharui kerjasama antara APO dan OECD, secara khususnya dalam meneruskan projek pengukuran dan statistik produktiviti bersama.

Membina keanggotaan dalam Forum Global mengenai Produktiviti (GFP) OECD sejak tahun 2020, APO mengukuhkan komitmen dengan pengurusan GFP pada 2 Mei bertujuan meningkatkan kapasiti anggota APO dalam analisis produktiviti dan penggubalan dasar. Kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen untuk menggunakan GFP sebagai platform bagi pertukaran dasar dan kerjasama penyelidikan.

Siri keterlibatan peringkat tinggi berkesudahan dengan perbincangan yang produktif antara Setiausaha Agung Dr. Indra dan Pelapor Am Majlis Kebangsaan bagi Produktiviti Perancis, Alain Durre, pada 3 Mei. Mereka meneroka jalan untuk kerjasama, termasuk mengukuhkan projek perundingan dasar dan memudahkan pertukaran penyelidikan produktiviti.

Inisiatif dan perkongsian strategik ini menekankan dedikasi APO untuk melengkapkan anggota pertubuhan dengan alatan dan kepakaran bagi menangani cabaran produktiviti yang kompleks, memacu pembangunan mampan dan kemakmuran di seluruh rantau Asia Pasifik.

Maklumat Tentang Pertubuhan Produktiviti Asia (APO)

Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) ialah pertubuhan antara kerajaan serantau yang khusus untuk menambah baik produktiviti di rantau Asia-Pasifik melalui kesepakatan bersama. Pertubuhan ini ialah pertubuhan bukan politik, bukan untung dan tanpa diskriminasi. Ditubuhkan pada tahun 1961 dengan lapan anggota pengasas dan pada masa ini Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) mempunyai 21 anggota ekonomi: Bangladesh; Kemboja; Taiwan (Republik China - ROC); Fiji; Hong Kong; India; Indonesia; Republik Islam Iran (I.R.); Jepun; Korea Selatan (Republik Korea - ROK); Republik Demokratik Rakyat Lao (Lao PDR); Malaysia; Mongolia; Nepal; Pakistan; Filipina; Singapura; Sri Lanka; Thailand; Turki; dan Vietnam.

Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) sedang membentuk masa depan rantau ini dengan memupuk pembangunan sosioekonomi anggota pertubuhan melalui khidmat nasihat dasar negara, bertindak sebagai badan pemikir, inisiatif pembinaan kapasiti institusi dan perkongsian pengetahuan untuk meningkatkan produktiviti.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada: https://www.businesswire.com/news/home/53978778/en 

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=18129

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...