KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pameran Teknologi dan Jentera Makanan Antarabangsa (FOOMA JAPAN), sebuah pameran perdagangan berkaitan jentera makanan dan teknologi pemprosesan makanan, akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Tokyo (Tokyo Big Sight) di Tokyo, Jepun, pada Julai ini.
Pameran terbesar Asia itu, yang akan berlangsung empat hari bermula 9 Julai, dianjurkan oleh Persatuan Pengeluar-pengeluar Jentera Makanan Jepun (FOOMA).
Acara itu, yang diadakan bagi kali ke-42 tahun ini, dijangka dihadiri oleh lebih 100,000 pengunjung Jepun dan asing, dalam usaha memburu kecemerlangan dalam pengeluaran makanan serta jentera pemprosesan Jepun.
FOOMA JAPAN akan menarik penyertaan pempamer daripada semua bidang yang terlibat dalam proses pengeluaran makanan, bermula daripada pengendalian bahan mentah sehingga kepada pembungkusan dan pengedaran.
Pameran tahunan itu akan turut menyediakan akses sehenti kepada produk, teknologi dan perkhidmatan tercanggih serta maklumat terkini berkaitan makanan.
Bagi edisi tahun ini, FOOMA JAPAN menambah satu bidang baharu bagi ‘kejuruteraan, robotik dan IoT’, bertujuan untuk mencadangkan penyelesaian terkini kepada pelbagai isu, misalnya proses automasi pengeluaran makanan menggunakan sistem robot atau teknologi IoT untuk berkongsi serta memanfaatkan maklumat dengan menghubungkan pelbagai produk kepada rangkaian itu.
Pengunjung juga boleh melihat, menyentuh dan merasa produk dalam pelbagai demonstrasi yang diadakan, seolah-olah mereka sedang melawat ke kilang pengeluaran makanan atau melihat jentera yang menghasilkan makanan Jepun.
Bagi pengunjung antarabangsa, petugas syarikat pempamer yang boleh berbahasa Inggeris, Mandarin, Korea dan bahasa asing yang lain akan memakai lencana ‘penutur dwi bahasa’ pada dada mereka.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://www.foomajapan.jp/english/index.html
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment