HONG KONG & SINGAPURA, 25 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Edisi ke-17 Laporan Asia Pasifik Emerging Trends in Real Estate®, ramalan hartanah serantau yang diterbitkan bersama Urban Land Institute (ULI) dan PwC menyerlahkan sentimen pelabur yang menurun, disebabkan oleh kebimbangan kos hutang yang meningkat, inflasi yang meningkat, serta kemelesetan global yang dijangkakan. Laporan ini adalah berdasarkan tinjauan 233 orang profesional hartanah dan 101 temu bual dengan pelabur, pemaju, wakil syarikat hartanah dan broker pemberi pinjaman.
Ketegaran trend inflasi global, ekonomi yang meleset dan kemerosotan penunjuk global menyebabkan pelabur memberhentikan pembelian buat sementara waktu sehingga kesan daripada peningkatan kadar global segerak menjadi lebih jelas. Pengurangan jumlah transaksi serantau jelas dilihat, dengan kiraan urus niaga suku tahun ketiga di Asia Pasifik menurun sebanyak 38 peratus tahun demi tahun hingga US$32.6 bilion, memecah rekod jumlah suku tahun ketiga paling rendah di rantau ini selama berdekad-dekad. Tanah Besar China mewakili penurunan terbesar dengan penurunan sebanyak 23 peratus tahun demi tahun.
David Faulkner, Presiden ULI Asia Pasifik, berkata, "Kadar faedah yang semakin tinggi dan ekonomi global yang semakin lemah mula menjejaskan penilaian aset serantau dan mengubah cara pelabur menilai urus niaga yang mungkin. Sebagai pelindung inflasi jangka panjang, hartanah akan terus menarik modal, namun industri ini juga berkemungkinan mengalami perubahan yang ketara dalam masa beberapa tahun yang akan datang atas sebab persekitaran ekonomi yang sedang berubah dan perubahan dalam cara orang menggunakan persekitaran terbina."
Pasaran teratas untuk prospek pelaburan di rantau ini mempunyai sifat pasaran yang cair dan dalam serta pendekatan menyelamatkan diri. Singapura, Tokyo dan Sydney terus memegang kedudukan tiga pasaran teratas. Dengan krisis kecairan yang berterusan di sektor hartanah Tanah Besar China dan sekatan wabak yang berterusan, Singapura telah mendapat manfaat daripada penghalaan semula modal yang sebaliknya akan disalurkan kepada aset di Tanah Besar China dan Hong Kong SAR. Tokyo terus menikmati persekitaran kadar faedah hampir sifar, yang memastikan kos peminjaman yang lebih rendah serta tebaran yang lebih positif di atas kos hutang. Walaupun sekatan COVID di Hong Kong SAR telah dilonggarkan, status rantau tersebut sebagai pasaran komersial dan kediaman dengan kos paling tinggi di Asia Pasifik menjadikan rantau ini terdedah dalam persekitaran kemelesetan dan inflasi tinggi.
http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16554
No comments:
Post a Comment