Wednesday, July 26, 2023

TEATER TRADISIONAL BORIA "KEMBARA BORIA - SATU PERJALANAN"

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), terus komited dalam menyemarak dan memartabatkan seni budaya negara dengan pelaksanaan Panggung Seni Tradisional 2023 atau singkatannya (PST2023). PST2023 memasuki siri ke empat (4) dengan persembahan “Kembara Boria – Satu Perjalanan” karya Persatuan Seni dan Budaya Era Baru atau (MANES). Menerusi persembahan yang dilaksanakan bermula 22 hingga 23 Julai 2023 ini, penonton telah dibawa mengimbau sejarah perjalanan seni Boria di negeri Pulau Pinang.

Boria adalah sejenis teater yang amat popular di Pulau Pinang. Persembahan Boria yang lengkap mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian Boria diketuai oleh seorang tukang karang yang kebiasaannya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi. Rangkap karangan Boria mempunyai hujung suku kata sama dengan setiap rangkap kisah yang berkaitan dengan sketsa dipersembahkan. Enam orang dipanggil ‘Selor’ yang berada di belakang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang. Alat-alat muzik Boria pula berubah mengikut peredaran masa, namun penggunaan viola, marwas, gendang panjang, akordion dan harmonika sangat digalakkan dalam persembahan ini.
 
Menariknya penceritaan menyelusuri “Kembara Boria-Satu Perjalanan” ini, penonton dibawa mengenali persembahan tersebut dengan mengungkap permulaan asal usul Boria yang dibawa masuk ke Pulau Mutiara ini ketika era pemerintahan kolonial British dahulu. Kemudian beralih kepada Boria Kampung yang mendapat penyertaan daripada kalangan penduduk tempatan dan bagaimana boria mula dipersembahkan di atas pentas sempena pesta keramaian. Malah, penonton juga telah disajikan dengan tarian-tarian yang telah dikreasikan dan pemuzik menggunakan pancaragam atau ‘band’. Lagu-lagu yang dihasilkan pula disadurkan dengan genre yang popular pada ketika itu.
 
Penonton dapat melihat transisi boria dalam segmen keempat apabila ia melalui fasa komersil dengan melangkah ke saluran media seperti radio dan televisyen. Di sinilah sketsa Boria yang mempunyai ciri serta konsep tersendiri bermula diperkenalkan. Boria Moden melabuhkan tirai “Kembara Boria-Satu Perjalanan” pada segmen kelima dengan persembahan finale yang memaparkan kemunculan pelbagai jenis kumpulan daripada kampung atau persatuan-persatuan seni yang ada di sekitar Pulau Pinang.       

 

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...