PETALING JAYA, 1 Dis (Bernama) -- Lebih 43,000 syarikat telah diperakui sebagai 'Organisasi Kemakmuran Bersama' oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selepas berjaya melaksanakan Sistem Upah Berkaitan Produktiviti (PLWS).
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman berkata sehingga Oktober 2022, pihaknya telah mengiktiraf lebih 43,000 organisasi yang terdiri daripada sektor perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.Katanya menerusi sijil perakuan e-Shared Prosperity Organisation (eSPO), organisasi dapat memperkasakan daya tahan perniagaan. Selain dari membantu syarikat mencapai tahap produktiviti yang lebih baik eSPO juga dapat membantu syarikat menjadi lebih lestari ke arah Sustainability Development Goals (SDG).
Syarikat-syarikat perniagaan berpotensi untuk mencapai produktiviti dan keuntungan melalui penerapan PLWS kerana ia akan menyumbang kepada pertambahan upah yang berlandaskan produktiviti pekerja dan prestasi syarikat,” katanya.
Platform dalam talian eSPO diwujudkan oleh MPC untuk pemain industri agar dapat menilai sendiri komponen sistem upah berlandaskan produktiviti di dalam syarikat mereka. Sijil perakuan eSPO ini juga seiring dengan pematuhan kepada inisiatif Environmental, Social dan Governance (ESG) dalam konteks pemberian insentif dan kadar upah mengikut prestasi pekerja. Ini sangat penting kerana PLWS adalah sistem upah yang fleksibel dan berdaya saing yang mengagihkan kekayaan mengikut prestasi dan produktiviti majikan dan pekerja.
Pada tahun hadapan, MPC berhasrat meningkatkan kesedaran organisasi ke arah menggunapakai inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat dalam perniagaan agar industri tidak ketinggalan dalam ekonomi global. ESG dilihat sebagai ekosistem lengkap SDG untuk industri meningkatkan produktiviti dengan sokongan daripada pemegang taruh dan kesedaran pembeli mengenai kepentingan kelestarian.
No comments:
Post a Comment