Monday, February 20, 2023

TELFORD OFFSHORE MENGUMUMKAN PENYEMPURNAAN PROSES JUALAN DAN PENGAMBILALIHAN OLEH MERCED CAPITAL



Robert Duncan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk menerajui fasa pertumbuhan seterusnya


DUBAI, Emiriah Arab Bersatu, 21 Feb (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Telford Offshore group (“Telford Offshore” atau “Syarikat”) pada hari ini mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah diambil alih oleh entiti yang bergabung dengan Merced Capital. Pengambilalihan itu mewakili penyempurnaan proses jualan berdaya saing (“Proses Jualan”) yang diumumkan sebelum ini. Kini, Telford Offshore dimiliki sepenuhnya oleh Merced Capital.

Sebagai sebahagian daripada transaksi, Merced Capital, di bawah khidmat nasihat Sidley Austin, telah memberikan suntikan modal baharu dalam Syarikat untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya dan menambah baik kunci kira-kira, mengurangkan kedudukan hutang bersih kepada sifar selepas penyempurnaan transaksi. Bersama sandaran penaja kewangan sokongan dan kecairan yang dipertingkat dengan ketara, Telford Offshore akan berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh manfaat daripada pemulihan yang sedang dijalankan dalam industri tenaga global dan permintaan kukuh yang berkaitan untuk perkhidmatan luar pesisir.

Telford Offshore juga mengumumkan bahawa Robert Duncan telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat yang baharu. Encik Duncan akan mengambil alih tanggungjawabnya berkuat kuasa serta-merta, dengan menggantikan Fraser Moore. Seorang eksekutif yang disegani dengan lebih daripada dua dekad pengalaman memimpin pasukan global dalam industri tenaga dan marin luar pesisir, Encik Duncan baru-baru ini berkhidmat sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital Strategies International dan sebelum itu beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Seafox International.

Joe McElroy, Rakan Kongsi di Merced Capital, berkata “Kami telah menjadi penaja kewangan utama Telford Offshore sejak penubuhan Syarikat dan berharap untuk terus menyokong pasukan dalam fasa baharu sejarah korporat ini. Kami berterima kasih kepada Fraser atas asas kukuh yang dibina oleh beliau di Telford dan sokongan yang diberikan semasa tempoh peralihan ini. Melalui perancangan masa hadapan, kami yakin Robert ialah pemimpin yang sesuai untuk membangun dan mengukuhkan platform Syarikat serta memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam pasaran perkhidmatan luar pesisir.”

“Saya amat berbesar hati kerana dapat menyertai Telford Offshore pada masa kritikal bagi Syarikat dan pada saat penting dalam industri kita, yang berada pada fasa awal seperti dijangkakan oleh kita sebagai pemulihan yang kukuh selepas beberapa tahun yang cukup mencabar,” kata Robert Duncan, Ketua Pegawai Eksekutif Telford Offshore. “Di bawah pemilikan baharu ini dan dengan kunci kira-kira yang diperkemas, Telford bersedia memantapkan lagi diri kita sebagai peneraju industri.”

Komitmen berterusan Telford Offshore kepada pelanggan, vendor dan pekerja tidak akan terjejas dan operasi semasa akan diteruskan seperti biasa. Pada masa ini, Telford Offshore mempunyai lima aset, yang kesemuanya kini di bawah kontrak untuk bekerjasama dengan rakan niaga yang kukuh, termasuk syarikat minyak kebangsaan (NOC) dan syarikat minyak antarabangsa (IOC):

– Telford 25 dengan kren 800 tan, kemampuan memasang paip tegar, 1,500 m2 ruang geladak dan 379 himpitan
– Telford 28 dengan kren 270 tan, 1,500 m2 ruang geladak dan 462 himpitan
– Telford 30 dengan kren 270 tan, kemampuan memasang paip tegar, 300 m2 ruang geladak dan 480 himpitan
– Telford 31 dengan kren 400 tan, 1,300 m2 ruang geladak dan 477 himpitan
– Telford 34 dengan kren 800 tan, sistem memasang paip tegar, 1,350 m2 ruang geladak dan 339 himpitan
Biografi Robert Duncan

Encik Duncan telah memegang beberapa peranan tahap C di organisasi dalam industri tenaga global sepanjang dua dekad yang lalu. Beliau telah berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu sejak 17 tahun lalu. Terkini, Encik Duncan menubuhkan dan memimpin Capital Strategies International Limited (CSIL), yang memberikan perkhidmatan profesional berkualiti tinggi kepada syarikat dalam sektor tenaga dan marin luar pesisir, serta institusi kewangan. Sebelum itu, Encik Duncan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Pegawai Komersial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan di Seafox International, syarikat perkhidmatan tenaga dan marin luar pesisir antarabangsa, dari tahun 2007 hingga 2017. Pada masa ini, Encik Duncan juga berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Ahli Lembaga Advance Global Recruitment, perniagaan perekrutan penyelesaian pekerja kontrak dan tetap yang terkemuka yang memberikan perkhidmatan kepada sektor tenaga luar pesisir global dan merupakan Agen Eksklusif kepada Timur Tengah untuk Van Aalst Group B.V.. Encik Duncan ialah ahli berkelayakan Institut Akauntan Bertauliah Scotland (ICAS) dan juga Institut Kewangan Awam dan Perakaunan Bertauliah (CPFA).

Maklumat Tentang Telford Offshore

Flit Telford Offshore terdiri daripada lima kapal moden: Telford 25, Telford 28, Telford 30, Telford 31 dan Telford 34. Keupayaan DP3 flit syarikat dan sistem berjalan ke tempat kerja kekal membolehkan flit tersebut memperoleh manfaat daripada kadar ketersambungan yang selamat dan sangat tinggi kepada pemasangan pengeluaran tetap dan mudah alih, mengurangkan masa henti semasa berada di stesen. Keupayaan serba guna flit tersebut memastikan bahawa pelbagai operasi boleh dijalankan oleh satu kapal. Setiap kapal berupaya menyediakan perkhidmatan penginapan, perkhidmatan lif berat bawah laut dan bahagian atas, memasang paip tegar dan fleksibel serta menjalankan pembinaan bawah laut. Telford Offshore boleh menyesuaikan mengikut keperluan pelanggan dan beroperasi dalam persekitaran yang paling mencabar, memberikan akses selamat dan sokongan tapak kerja luar pesisir. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.telfordoffshore.com.

Maklumat Tentang Merced Capital

Merced Capital ialah firma pelaburan persendirian yang diasaskan pada tahun 1988 dan berpangkalan di Minneapolis, MN. Firma ini menguruskan modal bagi pihak pelabur institusi, termasuk endowmen, dana pencen dan pejabat anggota keluarga yang terkemuka. Firma berkenaan mempunyai pengalaman berkaitan yang luas dalam industri tenaga global, perkapalan dan perkhidmatan luar pesisir.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Bahagian untuk Dihubungi

Untuk maklumat lebih lanjut:
FGS Global
E: merced@fgsglobal.com
atau
Telford Offshore
E: contact@telfordoffshore.com
 
Sumber: Telford Offshore

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...