Tuesday, November 2, 2021

SAMBUTAN HARI INOVASI DAN INTEGRITI 2021 LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus menyemarakkan budaya inovasi dan pengamalan nilai integriti dalam kalangan warga kerjanya (Hasilian) menerusi Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDNM 2021 (HII 2021).
 
Majlis yang disambut secara hibrid iaitu dengan kehadiran fizikal yang terhad di Hotel Marriot, Putrajaya dan turut disiarkan secara webinar menerusi aplikasi zoom ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM dan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM.
 
YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon dalam ucapan perasmiannya berkata, LHDNM perlu sentiasa kreatif memberikan sentuhan inovasi terhadap sistem yang ada dalam organisasi melalui transformasi digital dan memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan percukaian, seterusnya melonjakkan prestasi organisasi sebagai agensi unggul kutipan cukai untuk pembangunan negara. Manakala berkenaan dengan integriti pula beliau memberikan saranan agar penghayatan nilai-nilai integriti dilakukan secara berterusan bagi mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan LHDNM.
 
Sementara itu, YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi dalam ucapan alu-aluannya berkata, LHDNM sentiasa memberikan fokus kepada usaha memperkasakan prinsip integriti bagi peningkatan kualiti sistem perkhidmatan dan mendukung matlamat kerajaan untuk mengekalkan organisasi ini sebagai organisasi yang berprestasi tinggi ke arah menjadi Pentadbir Cukai Terunggul yang menyumbang kepada pembangunan negara. Hasilian juga diseru agar sentiasa menzahirkan kreativiti dan membudayakan inovasi sebagai persediaan bersaing dalam Revolusi Industri 4.0.
 
Sempena sambutan HII 2021, LHDNM telah melancarkan lima produk baharu yang antaranya merangkumi teknologi, perkhidmatan profesional dan kebajikan Hasilian. Produk-produk tersebut adalah seperti yang berikut:
 
1. e-Janji Temu HASiL di https://janjitemu.hasil.gov.my/ yang merupakan sistem permohonan janji temu secara dalam talian oleh pembayar cukai atau mana-mana pihak yang ingin berurusan dengan kaunter perkhidmatan LHDNM di semua pejabat cawangan termasuklah di Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC). Perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan merangkumi percukaian, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan Pendaftaran Perniagaan (Kuching, Sarawak). Melalui sistem e-Janji Temu ini, LHDNM dapat memberikan perkhidmatan berterusan yang berkesan kepada pembayar cukai dengan menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja.
 
2. Sistem e-Daftar Niaga Kuching yang membolehkan proses pendaftaran, kemas kini, bayaran dan lain-lain urusan melibatkan lesen perniagaan di Kuching, Sarawak dilakukan secara dalam talian.
 
3. Laman Rasmi Pesara Hasil yang berfungsi sebagai one-stop centre bagi urusan pentadbiran Pesara Hasil termasuklah untuk mengemaskini maklumat pesara, permohonan Kad Pesara dan carian senarai Klinik Panel bagi urusan rawatan serta perubatan Pesara Hasil.
 
4. Aplikasi Mobile ‘Hasil SPI - Cuti’ yang dibangunkan untuk mempercepat dan memudahkan proses permohonan serta pemantauan cuti melalui telefon pintar.
 
5. Hasilian Research Snapshot (HRS) yang berperanan sebagai sumber rujukan pantas kepada pihak LHDNM dan orang awam berhubung isu percukaian semasa serta memberi input bagi menambah nilai tadbir urus perkhidmatan percukaian. HRS boleh diakses melalui Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Media > Penerbitan.
 
Bagi merangsang pemikiran yang kreatif, menerapkan nilai integriti yang ampuh dan melahirkan Hasilian yang sihat rohani serta cergas jasmaninya, HII 2021 turut diisi dengan pelbagai acara dan Pertandingan seperti yang berikut:
 
i. Program Bual Bicara Integriti;
ii. Perkongsian Artikel Inovasi;
iii. Anugerah Inovasi CEO 2021 (AICEO 2021);
iv. Pertandingan idea@hasil 2021;
v. Pertandingan Kuiz;
vi. Pertandingan Menulis Artikel Integriti;
vii. Kembara Inovasi Hasil Maya 2021; dan
viii. Hasil Virtual Run 2.0. 


Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15164

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...