YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merasmikan Webinar "Liberalisme dan Penyempitan Agama : Apa Panduan Islam?" |
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan satu webinar bertajuk ‘Liberalisme dan Penyempitan Agama: Apakah Panduan Islam?’ secara dalam talian, bagi membincangkan dua aliran pemikiran dan pentafsiran terhadap agama yang tersasar dari prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) yang menjadi teras kepada tradisi keilmuwan Islam sejak awal.
Aliran pemikiran liberal yang dipengaruhi oleh falsafah sekular Barat mengandaikan bahawa ajaran Islam perlu disesuaikan dan diubah selari dengan perkembangan zaman. Pada satu ekstrem yang lain, terdapat kecenderungan melampau dalam kalangan sebahagian kelompok masyarakat Islam yang memberikan tafsiran sempit dan keras terhadap sumber agama dengan menekankan kepada perkara-perkara furu’, tafsiran-tafsiran literal, serta mengetepikan tafsiran berwibawa ulama-ulama Islam yang muktabar.
Webinar yang telah dirasmikan oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini bertujuan untuk membincangkan sudut pandang Islam terhadap dua kecenderungan pemikiran dan pendekatan terhadap agama ini serta memberikan panduan kepada masyarakat Islam mengenai pentafsiran Islam yang sebenar.
Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Haji Idris menyatakan bahawa wacana yang dianjurkan oleh IKIM ini harus diteruskan sebagai usaha menyelesaikan masalah kecelaruan akal fikiran terutamanya dalam kalangan umat Islam serta dalam konteks membina Keluarga Malaysia yang lebih terpelajar, bersatu-padu dan beradab.
No comments:
Post a Comment