PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) mengadakan kolaborasi dengan Favoriot Sdn. Bhd. di dalam penyediaan platform IoT Bandar Pintar. Ini adalah bagi meningkatkan dan mewujudkan penyelesaian Bandar Pintar baharu dan inovatif seperti yang telah dinyatakan di dalam Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya.
Platform Favoriot merupakan sebuah projek perintis yang dibiayai oleh National Technology Innovation Sandbox (NTIS) di bawah kategori Single Site Innovation Sandbox. Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Disember 2022 di antara PPj dan Favoriot Sdn. Bhd. adalah bagi mengesahkan kerjasama di antara kedua belah pihak berkaitan penggunaan Platform Favoriot sebagai platform IoT Bandar Pintar. Platform ini bertujuan untuk mengumpul dan menyelaraskan data daripada pelbagai jenis sensor sedia ada di Putrajaya.Platform Favoriot adalah perisian IoT sistem terbuka yang boleh menerima data daripada pelbagai jenis penderia IoT yang dihasilkan oleh pelbagai vendor. Ini membolehkan Perbadanan Putrajaya mengintegrasikan penyelesaian IoT yang berbeza ke dalam satu papan pemuka berpusat yang dipaparkan di Pusat Pemantauan dan Kawalan Putrajaya (Putrajaya Command Centre).
Pada masa kini di mana pelbagai penyelesaian IoT boleh ditawarkan oleh pelbagai pihak, ia boleh menjadi cabaran untuk mengurus pelbagai format data dengan pelbagai papan pemuka untuk dipantau. Oleh itu, platform Favoriot membolehkan penyelarasan penderia IoT daripada pelbagai vendor yang mematuhi protokol standard untuk dipaparkan dan diuruskan secara berpusat di Putrajaya Command Centre.
No comments:
Post a Comment