Wednesday, November 20, 2019

PERJALANAN KESAKSAMAAN USIA

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa diisytiharkan pada setiap 1 Oktober oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tahun ini, sambutannya bertema The Journey to Age Equality (Perjalanan Kesaksamaan Usia) yang selaras Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal-SDGs) ke-10. Ia adalah antara 17 matlamat diperakukan oleh Sidang Kemuncak PBB mengenai Pembangunan Lestari (UN Sustainable Development Summit) dan perlu dicapai oleh semua negara menjelang 2030.  Pembangunan mampan merangkumi agenda alam sekitar, agenda kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Menyedari isu dan cabaran berkaitan penuaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menambah baik Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) pada 2011.

KPWKM menerusi JKM turut menawarkan perkhidmatan sokongan, sosial dan kebajikan untuk memperkasakan warga emas bagi menjamin kehidupan yang lebih sejahtera buat mereka dengan menyediakan:

a. Bantuan kewangan;
b. Penjagaan Institusi;
c. Program Sokongan Sosial K4K (Komuniti untuk Komuniti)

Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) adalah program yang mudah diakses warga emas dalam komuniti. Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) pula memberi perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan untuk warga emas  mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital/klinik manakala Program Khidmat Bantu di Rumah (Home Help Services) merupakan program bercorak mendekati (reaching out) warga emas.

KPWKM juga menjalankan Kajian Diagnostik Bagi Membentuk Model Penjagaan Warga Emas Jangka Masa Panjang Bersepadu dan Mampan di Malaysia, yang dijangka selesai pada penghujung 2020. Skop kesejahteraan dan kebajikan warga emas serta penjaga dititikberatkan dalam kajian ini, yang akan menghasilkan pembentukan model pembiayaan serta model penjagaan bersepadu serta pelan tindakan pelaksanaan penjagaan jangka masa panjang. Kajian ini mengambil kira keperluan jagaan kesihatan dan sosial dalam institusi dan komuniti.

Selain itu, Kajian Kandungan, Pendekatan dan Skop dilaksanakan bagi menggubal akta khusus untuk warga emas di Malaysia. Cadangan akta ini adalah selaras dengan hasil Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan serta Kajian Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative (PEACE)  oleh Universiti Malaya, yang menunjukkan hasil kajian yang hampir sama iaitu prevalens atau kekerapan penderaan warga emas di Malaysia adalah kira-kira 10 peratus. Menerusi penggubalan akta ini, promosi dan perlindungan hak asasi warga emas dapat diperkasakan selain meningkatkan kesejahteraan warga emas termasuk ahli keluarga dan komuniti.

KPKWM akan berkolaborasi dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan United Nations Development Programme (UNDP) untuk melaksanakan projek age-friendly city secara rintis di Taiping, Perak. Projek rintis selama dua (2) tahun ini akan dijalankan berdasarkan panduan age-friendly city daripada World Health Organisation (WHO). Satu kerangka kerja bagi pewujudan daerah mesra warga emas akan dihasilkan untuk digunapakai oleh pihak berkuasa tempatan lain kelak. Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) atau Myageing dilantik menjadi perunding utama bagi kajian ini.

SUMBER: Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12815

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...