Monday, December 2, 2024

PEJUANG TINDAKAN IKLIM DAN KEMANUSIAAN MOHAMED NASHEED MENERIMA ANUGERAH WARGA GLOBAL BERPRESTIJ

LONDON, 29 Nov (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) --  Aktivis perintis hak asasi manusia dan pejuang tindakan iklim, Mohamed Nasheed telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Warga Global 2024. Beliau merupakan bekas Presiden Maldives dan pada masa ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Forum Kerentanan Iklim. Penghormatan tahunan ini disampaikan oleh firma penasihat mastautin dan kewarganegaraan antarabangsa terkemuka, Henley & Partners, dengan kerjasama Andan Foundation, sebuah organisasi kemanusiaan bukan untung Switzerland, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau yang berkesan dalam memajukan hak asasi manusia dan daya tahan iklim di seluruh dunia.

Anugerah berprestij itu memberikan penghormatan kepada individu yang menunjukkan keberanian dan komitmen luar biasa dalam memperbaiki dan menyokong komuniti global dan telah disampaikan pada majlis gala semasa Persidangan Kewarganegaraan Global tahunan yang ke-18 di Singapura. Persidangan itu menghimpunkan presiden dan perdana menteri, menteri dan pegawai kanan kerajaan yang lain, ahli akademik terkemuka, serta penasihat pelanggan peribadi peringkat tinggi dan profesional pengurusan kekayaan.

Presiden Nasheed menerima Anugerah Warga Global berdasarkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian alam sekitar dan perjuangan kemanusiaan, khususnya dalam memperjuangkan daya tahan iklim untuk negara yang rentan. Sejak berkhidmat sebagai presiden Maldives pertama yang dipilih secara demokratik, beliau telah memainkan peranan penting dalam menangani krisis iklim global. Sebagai Setiausaha Agung Forum Kerentanan Iklim yang mewakili 70 negara, beliau telah mengetuai pelbagai usaha advokasi. Beliau telah memperjuangkan tenaga yang boleh diperbaharui dan mengetuai projek daya tahan iklim di Maldives dan pada peringkat antarabangsa. Inisiatif beliau telah membentuk dasar iklim global yang signifikan, terutamanya bagi negara rentan yang paling berisiko dilanda kesan perubahan iklim. Dasar ini berpotensi memperbaiki keadaan hidup di seluruh dunia.

Pengerusi Henley & Partners dan Pengasas Andan, Dr. Christian H. Kaelin mengulas mengenai pengiktirafan tersebut. “Dedikasi Presiden Nasheed terhadap usaha kemanusiaan dan tindakan iklim untuk komuniti rentan benar-benar luar biasa. Sebagai pejuang berdedikasi bagi bumi kita dan penduduk dunia yang paling berisiko, beliau telah menguatkan lagi seruan penting bagi mencapai daya tahan iklim dan kesaksamaan sosial di seluruh dunia. Nasheed merangkul semangat kewarganegaraan global, merapatkan jurang dan memperjuangkan masa depan yang lestari bagi golongan paling rentan. Kami berbesar hati dapat memberikan pengiktirafan ini kepada seorang pemimpin yang mempunyai visi melangkaui sempadan dan generasi.” 

No comments:

Post a Comment

DARI BAHAN API FOSIL KE MASA DEPAN HIJAU: OXFORD DAN EBC FINANCIAL GROUP BINCANG APA YANG MENGHALANG KITA

EBC Financial Group dan Jabatan Ekonomi Oxford University merungkai halangan kepada kemajuan iklim, meneroka cukai karbon, pembaharuan subsi...