Wednesday, August 5, 2026

Moove Berjaya Mengumpulkan Dana AS$250 Juta pada Penilaian AS$2.1 Bilion untuk Memperluaskan Infrastruktur Global yang Menjadi Asas kepada Mobiliti Berautonomi

Pembiayaan Siri C yang diterajui oleh Mubadala Investment Company ("Mubadala") dan diterajui bersama oleh Woven Capital (Toyota) serta Ion Pacific ini mempercepatkan peluasan platform infrastruktur global Moove untuk mobiliti berautonomi, sejajar dengan peralihan pasaran daripada teknologi inovatif kepada pelaksanaan berskala besar.

· Siri C sebanyak AS$250 juta menilai Moove pada AS$2.1 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat infrastruktur peneraju dalam ekonomi mobiliti berautonomi.
· Moove sedang membangunkan lapisan operasi teras bagi mobiliti berautonomi di peringkat global menerusi pengurusan armada bersepadu, infrastruktur depoh berlandaskan robotik serta operasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu (24/7).
· Melalui kerjasama dengan Waymo, Moove kini merupakan pengurus armada kenderaan berautonomi pihak ketiga yang terkemuka, dengan operasi yang sedang berjalan atau telah diumumkan di Phoenix, Miami dan London.
· Strategi autonomi Moove berasaskan pengalaman selama lima tahun dalam membina dan mengendalikan infrastruktur mobiliti pada skala besar, bermula daripada pelancaran awal sebanyak 76 kenderaan di Lagos kepada kira-kira 42,000 kenderaan di 29 bandar (13 negara), serta mencapai ARR sebanyak AS$420 juta.

DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu, 5 Ogos (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Moove, syarikat mobiliti global yang membina lapisan operasi untuk mobiliti berautonomi, hari ini mengumumkan bahawa ia telah mengumpul dana sebanyak AS$250 juta pada penilaian syarikat sebanyak AS$2.1 bilion dalam pusingan pembiayaan Siri C yang diterajui oleh Mubadala Investment Company serta diterajui bersama oleh Woven Capital, Dana Pertumbuhan milik Toyota Motor Corporation, dan Ion Pacific.

Pusingan pembiayaan ini turut menarik penyertaan BlueCrest Capital Management, Sona Asset Management dan Raptor Group seterusnya memperkukuhkan lagi sokongan institusi terhadap Moove, di samping pelabur seperti BlackRock, MUFG, Franklin Templeton, Uber, Left Lane, Silverbacks Holdings, Square Associates, The Latest Ventures, dan Ontario Power Generation Pension Plan, yang menyokong fasa pertumbuhan Moove yang seterusnya.

Pembiayaan ini akan menyokong pengembangan perniagaan kenderaan berautonomi Moove, termasuk pemilikan armada berautonomi serta infrastruktur depot berteraskan robotik yang dikenali sebagai “Nests”, iaitu lokasi di mana armada autonomi dicas, diservis, diselenggara dan diselaraskan bagi memastikan operasi berterusan. Dana tersebut juga akan digunakan untuk menyokong pelancaran pasaran baharu di seluruh dunia. Sebagai sebahagian daripada pengembangan ini, Moove menjangka akan meningkatkan tenaga kerja dalam bidang kenderaan berautonominya sebanyak lebih 220% menjelang akhir tahun ini, daripada kira-kira 150 pekerja pada masa ini kepada kira-kira 500 pekerja.

Penskalaan mobiliti berautonomi memerlukan lebih daripada sekadar teknologi kenderaan. Ia bergantung kepada akses kepada modal, pemilikan armada, infrastruktur pengecasan, penyelenggaraan, sistem penyelarasan operasi, serta pelaksanaan operasi peringkat bandar selama 24/7. Moove sedang membina lapisan infrastruktur tersebut, membolehkan mobiliti berautonomi beralih daripada keupayaan inovatif kepada rangkaian pengangkutan berskala besar.

Sejak tahun 2020, Moove telah membina platform modal, armada dan operasi yang diperlukan untuk mengguna serta menguruskan aset mobiliti tempahan kenderaan dalam talian yang dipandu manusia secara produktif pada skala besar. Kini, syarikat tersebut menggaji 3,300 pekerja di seluruh dunia dan mengendalikan kira-kira 42,000 kenderaan di 29 bandar di 13 negara, menjadikannya antara armada tempahan kenderaan dalam talian terbesar di dunia. Moove telah berkembang melalui gabungan pertumbuhan organik dan pengambilalihan strategik, termasuk Kovi di Brazil dan Tokyo Taxi di Jepun, serta telah berkembang sehingga mencapai ARR sebanyak AS$420 juta.

Melalui perniagaan mobiliti berautonominya, Moove memperluaskan model operasi yang telah dibinanya sepanjang lima tahun lalu bagi mobiliti yang dipandu manusia kepada sistem AV generasi akan datang. Kenderaan autonomi memerlukan infrastruktur fizikal yang lebih kukuh serta ketepatan operasi yang tinggi, dan Moove memanfaatkan pengalamannya dalam penyelarasan armada, operasi, penyelenggaraan, pengecasan dan logistik untuk memenuhi keperluan tersebut. Melalui kerjasamanya dengan Waymo, Moove kini merupakan antara pengendali armada berautonomi pihak ketiga yang terkemuka, dengan operasi yang sedang berjalan di Phoenix dan Miami, serta operasi masa hadapan di London.

Mobiliti berautonomi dijangka akan menjadi lapisan asas kepada ekosistem bandar masa hadapan, dengan pengaruh yang merangkumi logistik, pengangkutan awam, perdagangan dan infrastruktur bandar. Platform yang berupaya mengendalikan infrastruktur ini pada skala besar dijangka memainkan peranan penting dalam merealisasikan rangkaian mobiliti generasi akan datang.

Ladi Delano, Pengasas Bersama, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama dan Pengerusi Lembaga Penasihat Moove, berkata:: “Setiap revolusi besar dalam teknologi akhirnya menjadi perlumbaan pembangunan infrastruktur. Internet memerlukan pusat data. AI memerlukan kuasa pengkomputeran. Mobiliti berautonomi pula memerlukan armada, infrastruktur pengecasan, penyelenggaraan, sistem data dan operasi 24/7 di setiap bandar – dan itulah yang sedang dibangunkan oleh Moove. Pada pandangan kami, apabila mobiliti autonomi berkembang pada skala yang lebih besar, pemilikan serta pengendalian infrastruktur akan menentukan peneraju dalam kategori ini. Kami sedang membina keupayaan untuk menjadi salah satu daripadanya.

Kami bermula di Lagos dengan satu pemerhatian yang mudah: permintaan terhadap mobiliti amat tinggi, tetapi penawaran tidak dapat berkembang pada skala besar melainkan modal, teknologi dan operasi bergerak seiring. Lima tahun kemudian, pemerhatian itu telah berkembang menjadi sebuah platform global. Kami kini memberi tumpuan kepada pembinaan platform yang akan menentukan semula mobiliti serta membolehkan berbilion perjalanan autonomi direalisasikan di seluruh dunia.

Berpaksikan kehadiran kukuh kami di UAE, serta disokong oleh modal strategik jangka panjang, Moove kini memiliki platform untuk membantu mengangkat mobiliti berautonomi daripada teknologi inovatif kepada pengangkutan harian. Ini bukan penyimpangan daripada misi kami, sebaliknya merupakan manifestasi paling menyeluruh terhadap misi tersebut.”

Ali Eid AlMheiri, Pengarah Eksekutif Aset Pelbagai, Platform Pelaburan UAE di Mubadala Investment Company, berkata: “Sejajar dengan peralihan mobiliti berautonomi daripada fasa inovasi kepada pelaksanaan pada skala besar, infrastruktur yang menyokongnya menjadi semakin penting. Moove sedang membina platform operasi bersepadu yang menggabungkan pemilikan armada, keupayaan operasi dan teknologi untuk menyokong fasa pertumbuhan mobiliti berautonomi yang seterusnya. Perkara ini amat penting khususnya bagi UAE. Mubadala Investment Company melabur dalam infrastruktur pemangkin serta platform berskala seperti Moove yang menyokong kepelbagaian ekonomi dan mengukuhkan peranan UAE sebagai hab bagi teknologi termaju. Sejak pelaburan awal Mubadala tiga tahun lalu, Moove telah menjadi rakan kongsi yang hebat, dan kami berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan Moove dalam fasa pertumbuhannya yang seterusnya.”

Betty Lee, Pegawai Pelaburan Kanan di Woven Capital (Dana Pertumbuhan Toyota), berkata: "Moove telah menunjukkan keupayaan luar biasa dalam melaksanakan operasinya merentasi pelbagai pasaran, dengan membina platform global yang merangkumi armada kenderaan tradisional dan berautonomi. Gelombang mobiliti seterusnya merupakan cabaran infrastruktur sama seperti cabaran perisian, dan Moove sedang membina lapisan asas untuk menyelesaikannya. Tidak banyak syarikat pada peringkat ini yang telah membuktikan keupayaan untuk bergerak sepantas ini dan mencapai tahap kecemerlangan operasi seperti yang telah ditunjukkan oleh Moove di begitu banyak pasaran. Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha yang sedang dibangunkan oleh mereka serta membantu mempercepatkan perjalanan mereka apabila mereka terus berkembang."

Michael Joseph, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama dan Pengasas Bersama Ion Pacific, berkata: “Kami telah bekerjasama dengan pasukan Moove selama lebih lima tahun, dan keupayaan pelaksanaan mereka secara konsisten telah mengagumkan kami. Sejajar dengan peralihan mobiliti berautonomi daripada sekadar kemungkinan kepada realiti, Moove sedang membina lapisan infrastruktur penting untuk sektor ini – lapisan yang kompleks, adaptif dan amat diperlukan bagi memperluaskan penggunaan kenderaan AV pada skala besar. Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.

Siri C Moove menandakan satu perubahan besar dalam keupayaan syarikat itu untuk memperluaskan lapisan infrastruktur yang menjadi asas kepada mobiliti berautonomi di seluruh dunia.

Maklumat Tentang Moove

Moove ialah syarikat mobiliti global yang membina lapisan operasi bagi mobiliti berautonomi. Beribu pejabat di UAE dan ditubuhkan pada tahun 2020 oleh Ladi Delano dan Jide Odunsi, Moove membiayai, memiliki dan mengendalikan aset mobiliti yang produktif bagi platform mobiliti terkemuka dalam pengangkutan berpenumpang mahupun berautonomi. Moove beroperasi di 13 negara dan 29 bandar, dengan kira-kira 42,000 kenderaan serta lebih daripada 3,300 pekerja di seluruh dunia. Syarikat ini berkembang pesat sehingga mencapai ARR bernilai $420 juta dalam tempoh 5 tahun selepas pelancarannya.

Moove ialah rakan kongsi armada global terbesar Uber serta pengendali pihak ketiga terkemuka bagi armada kenderaan berautonomi menerusi kerjasamanya dengan Waymo. Dalam bidang mobiliti berautonomi, Moove membiayai, memiliki dan mengendalikan armada kenderaan berautonomi, membina serta menguruskan infrastruktur Nest yang direka berasaskan robotik, dan mengendalikan lapisan operasi yang diperlukan untuk melaksanakan perkhidmatan tanpa pemandu pada skala besar. Operasi berautonominya kini sedang berjalan di Phoenix dan Miami, dengan London disahkan sebagai lokasi pengembangan antarabangsa pertama, manakala bandar-bandar lain akan diumumkan kemudian.

Moove turut memperluaskan jangkauan globalnya melalui pengambilalihan strategik, termasuk pengambilalihan Kovi sepenuhnya di Brazil dan Tokyo Taxi di Jepun, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa utama.

Model syarikat ini menggabungkan modal, infrastruktur dan operasi bagi membolehkan platform pergerakan berkembang secara global merangkumi kedua-dua perkhidmatan pengangkutan berpenumpang dan berautonomi. Moove disokong oleh sekumpulan pelabur global yang kukuh, termasuk Mubadala, Woven Capital, Ion Pacific, Blue Crest, Sona Asset Management, Uber, Speedinvest, Silverbacks Holdings, Square Associates, The Raptor Group, The Latest Ventures, Endeavor Catalyst, Clocktower Ventures, Left Lane, LocalGlobe, BlackRock, Prosus, MUFG, Quona Capital, FJ Labs, Maya Capital, Monashees dan Valor.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

Hubungan Media
moove@zenogroup.com

Sumber: Moove

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Moove Berjaya Mengumpulkan Dana AS$250 Juta pada Penilaian AS$2.1 Bilion untuk Memperluaskan Infrastruktur Global yang Menjadi Asas kepada Mobiliti Berautonomi

Pembiayaan Siri C yang diterajui oleh Mubadala Investment Company ("Mubadala") dan diterajui bersama oleh Woven Capital (Toyota) s...